PUSAT vaksinasi di Pusat Komuniti Taman Menjalara pagi ini huru-hara dengan penerima vaksin mengerumun pintu hadapan ketika menunggu giliran dipanggil.
Tinjauan The Malaysian Insight mendapati terdapat 200 hingga 300 orang di luar pusat vaksinasi yang tidak berbaris atau menjaga penjarakan fizikal untuk mengekang penyebaran Covid-19.
Pusat tersebut juga kekurangan kakitangan, cuma 10 anggota polis dan Rela yang menguruskan beratus-ratus orang dengan memberi arahan kepada mereka untuk mengikuti prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Pusat itu memberi vaksinasi kepada 800 orang sehari.
Berikutan huru-hara dan keluhan orang ramai yang kian meningkat, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin mengumumkan rancangan untuk memindahkan penerima vaksin dari situ ke tempat yang lebih besar.
Dewan Masyarakat Bandar Sri Menjalara akan menjadi antara empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang akan ditutup dan diganti dengan dua tempat yang lebih besar bagi memudahkan penerima vaksin.
Menjalara dan Stadium Titiwangsa akan digantikan oleh Pusat Perdagangan dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia (MiTEC) mulai 31 Mei.
Ramai penerima vaksin yang ditemui di pusat komuniti Menjalara mengadu mereka diberi janji temu di tempat yang jauh dari tempat kediaman mereka.
Wong, yang menetap di Taman Gembira di Jalan Klang Lama, membawa rakannya yang berusia 70 tahun ke pusat Menjalara untuk vaksinasi. Dia tiba sejam lebih awal dari janji temu pada pukul 12 malam.
“Kawan saya seorang janda dan saya sekadar orang biasa yang tolong dia bawa ke sini.
“Saya tak faham kenapa dia diberi janji temu jauh dari tempat tinggalnya.
“Walaupun kami nak ambil vaksin, situasi yang mereka hadapi di sini, tanpa sistem yang tepat dan kesesakan membuatkan kami lebih berisiko terkena virus,” katanya.
Ujarnya, rakannya itu telah mempertimbangkan untuk tidak datang janji temu hari ini tetapi memutuskan untuk menolaknya kerana tidak tahu bila panggilan seterusnya.
Samantha Tan, seorang wartawan di media tempatan, berkongsi kekecewaan yang sama dengan Wong. Beliau berkata ayahnya yang berusia 72 tahun harus menunggu lebih dari 30 minit di bawah matahari tanpa tempat untuk duduk sementara menunggu giliran.
“Pusat vaksinasi ini sangat sesak dan saya sudah laporkan kepada Mosti (Kementerian Teknologi Sains dan Inovasi) tetapi setakat ini belum ada respons.
“Kami tinggal di Cheras tapi kami kena tempuh perjalanan ke Kepong untuk vaksinasi. Lagi memburukkan keadaan, tak ada tempat untuk duduk dan arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa membingungkan. Orang tidak tahu di mana hendak beratur atau menunggu giliran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambah Tan, hakikat bahawa bapanya perlu beratur dan menunggu dalam kesesakan besar menjadikannya berisiko untuk terkena Covid-19.
Chong, yang datang jauh dari Jalan Klang Lama membandingkan pengalamannya menunggu sama macam orang yang hendak berperang.
“Saya datang untuk janji temu. Saya bawa kerusi, makanan dan kopi saya sendiri sebab saya sudah diberi amaran oleh rakan saya yang juga mendapat vaksinnya di sini bahawa tidak ada kemudahan yang tersedia.”
Dia ditemani seorang rakan yang menghantarnya ke Kepong pada pukul 10.45 pagi untuk janji temu pada pukul 12.00.
Seorang wanita lain yang tidak mahu disebutkan namanya berkata dia tidak ada pilihan selain tiba lebih sejam awal untuk janji temu pukul 12.00, kerana dia datang menggunakan pengangkutan awam.
“Saya tinggal dekat Capsquare. Saya terpaksa guna pengangkutan awam untuk sampai ke sini.
“Saya berdiri sepanjang masa sebab tak ada tempat untuk duduk. Sangat huru-hara di sini berbanding dengan pusat vaksinasi lain,” katanya.

Pusat vaksinasi berbeza antara suami isteri
Fong, 72, yang sedang menunggu isterinya di luar Pusat Komuniti Menjalara menyesal kerana sangat tidak masuk akal baginya dan isterinya untuk diberi tarikh dan lokasi berbeza atau janji temu mereka.
“Kami tinggal di Jalan Klang Lama tapi dia bagi janji temu di sini. Kenapa jauh sangat?
“Semua orang di sini sudah tua, tapi tak ada tempat untuk duduk dan tak ada tempat untuk berdiri.
“Saya dapat vaksin saya di Titiwangsa minggu lalu dan jauh lebih baik. Ada sistem, tak macam di sini. Di Titiwangsa kami diberi nombor dan kami tahu bila tiba masa,” katanya.
Hanya 10 orang dibenarkan masuk ke Pusat Komuniti Menjalara pada satu masa, membuatkan orang lain dengan waktu janji temu sama terpaksa menunggu di luar gerbang.
Orang ramai di dalam kompleks itu tidak berapa teratur dan ada khemah yang didirikan untuk mereka yang menunggu giliran mereka.
Retna Pillay, 72 juga berhadapan masalah sama dengan Fong. Dia dan suaminya diberi tarikh dan pusat berbeza.
“Saya daftar suami sebagai tanggungan saya di MySejahtera namun mereka suruh dia pergi ke Bandar Tasik Selatan dan daya pula di Kepong.
“Tak bodoh kah ini? Terutamanya bila orang itu tinggal serumah, satu alamat,” kata Retna yang menetap di Jalan Klang Lama. – 25 Mei, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen