Kuasa dunia perlu tingkat tekanan terhadap Belarus, kata pembangkang


Ramai mahukan Roman Protasevich dibebaskan. Pesawat Ryanair dinaiki Roman dialihkan oleh jet pejuang. Beliau ditangkap sejurus pesawat dipaksa mendarat. – Gambar AFP, 25 Mei, 2021. 

PEMIMPIN pembangkang Belarus dalam buangan, Svetlana Tikhanovskaya pada Selasa meminta Washington dan negara G7 meningkatkan tekanan kepada pemerintah Belarus setelah sebuah pesawat komersil disekat untuk menangkap seorang pembangkang di atas pesawat Ryanair itu.

Pendaratan kecemasan penerbangan penumpang Eropah di Minsk, Belarus atas kerana kononnya ada ancaman bom telah mencetuskan kemarahan global dengan beberapa syarikat penerbangan berpangkalan di Eropah memilih untuk tidak terbang di atas ruang udara Belarus.

Dalam panggilan dengan Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat Jake Sullivan, Tikhanovskaya “meminta AS untuk mengasingkan rejim dan menekannya melalui sekatan,” katanya di Twitter.

Manakala dalam sebuah hantaran di saluran Telegramnya, Tikhanovskaya berkata beliau meminta pihak pembangkang diundang ke sidang kemuncak G7 bulan depan di Carbis Bay, Britain.

“Situasi dengan rampasan pesawat tidak boleh dipertimbangkan secara terpisah dari penindasan lain dan pelanggaran hak asasi manusia di Belarus,” katanya.

Tikhanovskaya juga mencadangkan perbincangan pada sidang kemuncak G7 “dengan penyertaan pasukan demokratik Belarus” dan menyeru persidangan antarabangsa untuk menyelesaikan krisis politik yang meletus di Belarus tahun lalu.

Negara bekas Soviet itu dilanda demonstrasi bersejarah selama berbulan-bulan berikutan pemilihan presiden yang dipertikaikan pada Ogos 2020, menyaksikan Alexander Lukashenko terpilih untuk penggal keenam.

Pemimpin berusia 66 tahun itu memerintah Belarus dengan secara kuku besi lebih dari dua dekad dan bertindak balas terhadap demonstrasi tersebut dengan tindakan keras, menahan ribuan orang, kebanyakan dari mereka melaporkan ada seksaan dan penderaan dalam tahanan.

Blogger pembangkang, Roman Protasevich, yang berada di dalam penerbangan Ryanair yang dialihkan penerbangannya itu, ditangkap di lapangan terbang Minsk pada Ahad dan pihak berkuasa berkata beliau ditahan di pusat tahanan sebelum perbicaraan.

Aktivis 26 tahun itu melarikan diri ke Eropah pada 2019 dari mana dia bersama saluran Nexta dalam aplikasi Telegram, sebuah media pembangkang Belarus utama yang membantu menggerakkan penunjuk perasaan.

Lewat Isnin, TV negara Belarus mengeluarkan video Protasevich yang mengaku menganjurkan rusuhan besar-besaran di Belarus, suatu kesalahan yang boleh dihukum penjara hingga 15 tahun.

Sekutunya berkata bahawa video itu dibuat di bawah tekanan dari pihak berkuasa.

Tikhanovskaya berkata “tidak syak lagi Roman diseksa di penjara”. – AFP, 25 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen