GEMPA bumi bermagnitud 7.6 melanda Honduras lewat semalam, mencetuskan ancaman tsunami di pantai Caribbean berdekatan, tetapi tiada laporan mengenai kerosakan atau kecederaan.
Gempa itu melanda pada 0251 GMT dan berpusat kira kira 44 kilometer di timur pulau Great Swan, menurut Pusat Geologi AS (USGS). Ia dianggap lemah buat ketika ini.
Agensi pengelolaan kecemasan Honduras, Copeco sudah mengeluarkan amaran tsunami dalam tempoh 10 jam untuk kawasan pantai terlibat.
Presiden Juan Orlando Hernandez berkata, pihak berkuasa telah mengaktifkan sistem kecemasan negara tetapi menggesa orang ramai supaya bertenang.
“Berdasarkan parameter gempa yang awal, gelombang tsunami yang bahaya adalah mungkin bagi pantai yang berada pada jarak 1,000 kilometer dari pusat gempa,” kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS.
Amaran tsunami kemudian ditarik balik oleh agensi itu selepas keadaan kecemasan reda.
Cuba, Mexico, Honduras, Belize dan Jamaica telah diberi amaran “ancaman” ombak setinggi 0.3 ke satu meter.
Data USGS telah menunjukkan peristiwa itu sebagai “amaran hijau,” bermaksud kemungkinan kecederaan dan kerosakan yang rendah.
“Secara keseluruhan, penduduk di kawasan ini tinggal dalam struktur yang terdedah kepada gempa bumi, walaupun terdapat binaan untuk menahan,” katanya. – AFP, 10 Januari, 2018.
Komen