Pemandu cuai punca LRT bertembung, kata menteri


Noel Achariam

Kemalangan antara tren LRT di laluan bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru di Kuala Lumpur menyebabkan 213 orang cedera manakala enam lagi kritikal.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2021.

LAPORAN awal mendapati kecuaian pemandu gerabak menjadi punca kemalangan antara tren LRT di laluan bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru di Kuala Lumpur, kata Wee Ka Siong.

Menteri pengangkutan berkata berdasarkan laporan berkenaan kemalangan itu disebabkan kecuaian hostler (pemandu) gerabak yang dipandu salah arah.

“Tren TR40 sepatutnya menuju selatan ke Dang Wangi namun ia menghala ke utara iaitu arah bertentangan yang menjadi punca kemalangan antara tren TR40 dan TR81.

“Laporan awal punca kemalangan itu dibuat oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Tren TR40 adalah kosong dengan hanya pemandu sahaja manakala tren TR81 membawa 213 penumpang.

Wee berkata tren TR40 mengalami masalah teknikal dan pemandu diarahkan untuk mengendalikannya secara manual dari stesen Kampung Baru ke Stesen Dang Wangi.

Manakala tren TR81 beroperasi secara automatik ketika membawa penumpang dan menghala ke arah Kampung Baru pada pukul 8.40 malam dari KLCC selepas menerima maklumat tren TR40 menuju ke stesen Dang Wangi.

Beliau berkata pada pukul 8.33 malam, pemandu menghubungi pusat kawalan dan memaklumkan tren TR40 bertembung dengan tren lain. Pada 8.37 malam pemandu mengenal pasti tren TR81 yang bertembung.

Mengenai siasatan, Wee berkata satu pasukan khas ditubuhkan dan akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak.

Menurutnya pasukan penyiasat itu terdiri daripada sembilan anggota daripada pelbagai agensi yang ditugaskan untuk menyusun semua laporan siasatan untuk dijadikan laporan akhir.

“Laporan ini akan menjadi dasar kertas Kabinet, yang merangkumi laporan awal mengenai kronologi kejadian, mangsa, penubuhan pasukan petugas dan jawatankuasa siasatan, dan pelan tindakan termasuk cadangan penambahbaikan jangka panjang,” kata Wee.

Beliau berkata sebarang perkembangan mengenai siasatan akan diumumkan oleh pejabat menteri.

Wee juga menambah 21 penumpang masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, manakala enam mangsa dalam keadaan kritikal.

Katanya 15 penumpang mengalami kecederaan semi kritikal sementara 43 lagi mangsa diberi rawatan pesakit luar.

“Prasarana akan menanggung semua kos perubatan mangsa, termasuk rawatan susulan dan pampasan,” tambah Wee. – 25 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen