Daftar dulu sebelum ambil vaksin Covid-19 di hospital swasta, kata persatuan


Orang ramai perlu mendaftar melaui MySejahtera serta tidak boleh memilih hospital atau jenis vaksin Covid-19 di hospital swasta, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mei, 2021.

ORANG ramai hanya boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di hospital swasta selepas mendapat tarikh dan waktu janji temu melalui aplikasi MySejahtera, kata Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM).

Presidennya Dr Kuljit Singh berkata proses vaksinasi di hospital swasta sama seperti di hospital kerajaan di mana orang ramai perlu di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Ada kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa mereka boleh memilih hospital swasta dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin.

“Prosedurnya tetap sama kerana pendaftaran perlu melalui MySejahtera dan hanya bagi individu yang layak dalam Fasa 2, serta tidak boleh memilih hospital atau jenis vaksin,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Kuljit berkata vaksin Covid-19 di hospital swasta diberi percuma kerana kos bekalan itu ditanggung oleh kerajaan. Sebahagian kos pemberian vaksin pula akan ditanggung oleh pihak hospital swasta sebagai tanggungjawab sosial korporat.

Beliau juga berkata semua hospital swasta yang terbabit akan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Pembabitan hospital swasta katanya akan mempercepatkan sasaran negara mencapai imuniti kelompok.

Kementerian Kesihatan (KKM) semalam mengumumkan 12 hospital swasta di Selangor, Negeri Sembilan dan Sarawak akan beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 mulai hari ini.

Hospital terbabit adalah:

Selangor

  • Hospital Pakar KPJ Selangor
  • Pusat Perubatan MSU

Negeri Sembilan

  • Pusat Perubatan Nilai
  • Hospital Pakar Senawang
  • Hospital UCSI
  • Hospital Pakar KPJ Seremban
  • Pusat Perubatan Mawar

Sarawak

  • Hospital Columbia Asia, Miri
  • Hospital Pakar KPJ Kuching
  • Pusat Perubatan Rejang
  • Pusat Perubatan Timberland
  • Pusat Perubatan Borneo. β€“ 25 Mei, 2021.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen