Keluarga Najib bayar sendiri lawatan ke Arab Saudi


Perdana Menteri Najib Razak dan isteri Rosmah Mansor ke Arab Saudi ke Arab Saudi bagi lawatan kerja yang bermula Isnin hingga 12 Januari dan akan turut menunaikan ibadah umrah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Januari, 2018.

KELUARGA Perdana Menteri Najib Razak membayar sendiri perjalanan mereka untuk bersamanya di Arab Saudi, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini.

Kenyataan itu datang selepas pengguna media sosial mempersoalkan mengapa ahli keluarga Najib turut serta dalam lawatan kerja ke Timur Tengah.

Persoalan dan kritikan bermula selepas gambar senarai delegasi bagi lawatan kerja Najib dan isterinya Rosmah Mansor ke sana tular di media sosial.

Perdebatan di media sosial mempersoalkan mengapa pembayar cukai perlu menanggung kos ahli keluarga dan tetamu khas.

Mereka yang termasuk dalam senarai itu adalah ibu Najib, anak, anak tiri, menantu, cucu, adik beradiknya, serta empat orang tetamu khas.

PMO mengesahkan Najib, yang dijemput oleh Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, disertai oleh isteri, ibu, anaknya, beberapa ahli keluarga termasuk adik beradiknya, kenalan dan pegawai.

“Menjadi hasrat perdana menteri untuk menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja ini. Dato’ Sri Mohd Najib telah mengajak ahli keluarga beliau dan beberapa kenalan dalam lawatan ini bagi bersama beliau dalam mengerjakan ibadah umrah.

“Adik-adik perdana menteri termasuk kenalan beliau yang turut sama dalam lawatan ini telah membuat perbelanjaan sendiri ke Tanah Suci. Hanya Tun Rahah yang turut bersamanya dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi,” kata PMO dalam kenyataan yang dipos di Facebook.

Ia juga mengatakan nama individu yang menyertai Najib dalam perjalanan termasuk dalam senarai delegasi rasmi bagi memudahkan urusan pentadbiran pihak Arab untuk mengendalikan program umrah.

PMO juga berkata antara perwakilan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom dan beberapa pegawai lain.

“Perdana Menteri dan ahli rombongan juga diberi taraf Tetamu Negara oleh kerajaan Arab Saudi.”

Senarai delegasi yang berlegar di media sosial mengundang banyak cemuhan dan kritikan terhadap Najib dan keluarganya.

Di Facebook, Andrea Mo menulis: “mampuih duit rakyat.”

@potatoparrie di Twitter menulis: “Najib menggunakan wang kita untuk ‘lawatan kerja’ ke Arab Saudi bawa semua ahli keluarganya?!”

@ahmnorman menulis tweet: “Cucu Najib pun ikut lawatan kerja. Dahsyat kecik2 dah pandai pikir masa depan negara.”

Seorang lagi pengguna Twitter, Zulkiplee Mahdi menulis:

Pada halaman penyokong Pakatan Harapan, yang memaparkan gambar senarai delegasi, pengguna Facebook Lasu Lutah mengulas: “Nak pindahkah?”

Aminuddin Uziz di Facebook juga mengulas Najib dan keluarganya berpindah ke luar negara dan tidak akan kembali.

“Tapi baguih jugak p tak balik dah,” katanya dalam kumpulan Facebook Rakyat Bersama SPRM.

@OrenjiRenOren, yang tidak terkesan dengan kenyataan PMO, menulis di Twitter:

Lawatan kerja Najib ke Arab Saudi bermula Isnin hingga 12 Januari. Tujuan lawatannya adalah untuk membincangkan isu dua hala kedua-dua negara. – 10 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen