LRT bertembung, 213 cedera, 47 parah


Antara mangsa yang diselamatkan sebelum di bawa ke hospital oleh ambulans. Menurut polis, 47 penumpang cedera parah, 166 lagi cedera ringan. Semua mangsa telah dikeluarkan dari tempat kejadian pada pukul 9.50 malam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Mei, 2021.

DUA tren transit aliran ringan (LRT) bertembung di laluan bawah tanah antara stesen KLCC dan Kampung Baru di Kuala Lumpur malam ini, mengakibatkan 213 penumpang cedera, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi.

ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata, 47 penumpang cedera parah, 166 lagi cedera ringan. Semua mangsa telah dikeluarkan dari tempat kejadian pada pukul 9.50 malam.

Foto dan video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan beberapa penumpang cedera, ada yang mengalami pendarahan teruk.

Antara mangsa yang diselamatkan sebelum di bawa ke hospital oleh ambulans. Menurut polis, 47 penumpang cedera parah, 116 lagi cedera ringan. Semua mangsa telah dikeluarkan dari tempat kejadian pada pukul 9.50 malam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Mei, 2021.

Laporan awal kejadian menyatakan berlaku pertembungan antara dua LRT yang datang dari arah bertentangan.

“Pada pukul 8.45 malam, kemalangan berlaku antara LRT automatik dari stesen KLCC menuju ke stesen Kampung Baru dengan sebuah lagi LRT yang dikendalikan secara manual dari arah bertentangan.

“Koc dari stesen KLCC gagal mengesan tren yang datang kerana salah faham komunikasi dari menara kawalan.

“Setakat pukul 9.30 malam, jumlah korban tidak dapat dipastikan kerana anggota kecemasan sedang sibuk menyelamatkan mereka,” kata laporan itu.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang berada di tempat kejadian berkata, para penumpang cedera telah dikejarkan ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Siasatan lanjut mengenai punca kejadian akan dijalankan segera,” katanya yang berada di tempat kejadian.

Beliau turut berkata siasatan lanjut punca kejadian akan dijalankan dengan segera.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, hanya sebuah tren membawa penumpang, sebuah lagi kosong.

“Tren yang membawa penumpang dan sebuah tren kosong bertembung, menyebabkan beberapa penumpang terpelanting dan yang lain terjatuh,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Seorang penumpang dibawa keluar dari tempat kejadian oleh jabatan bomba dan penyelamat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Mei, 2021.

Menurut Twitter RapidKL @AskRapidKL, LRT kemalangan itu berlaku di laluan Kelana Jaya, melibatkan tren bernombor 40 dan 81.

“Semua penumpang yang cedera telah dikeluarkan ke platform. Bantuan kecemasan dan penyelamat sedang dijalankan. Keutamaan kami adalah memastikan keselamatan semua penumpang kami. Pengangkutan alternatif sedang diatur.

“Pasukan kami sedang menguruskan bantuan dan kerja-kerja menyelamat sekarang. Sila bertenang dan patuhi segala arahan,” katanya.

Sementara itu, melalui ciapan Bernama, beberapa pelanggan sedang diselamatkan oleh jabatan bomba dan penyelamat di luat stesen KLCC.

Para penumpang dan warganet turut memuat naik dan berkongsikan gambar-gambar menunjukkan beberapa penumpang yang cedera duduk di sekitar landasan stesen berkenaan. – 24 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen