KIRA-KIRA 90 hingga 100 pendatang hilang selepas bot dinaiki karam di Laut Mediterranean di pantai Libya, kata tentera laut negara itu pada malam Selasa.
Bot itu membawa lebih 100 orang ketika ia tenggelam, menurut jurucakap tentera laut Ayoub Kacem, yang mengatakan penyelamat hanya berjaya menyelamatkan 17 orang, termasuk beberapa wanita.
Pelarian berpaut pada bot berjam-jam lamanya sebelum bantuan tiba.
Bot itu tenggelam di luar pantai bandar Khoms, kira-kira 100 kilometer dari timur ibu negara Libya, kata Kacem.
Dalam satu lagi kejadian, tentera laut Libya berkata ia juga berjaya menyelamatkan 267 pendatang daripada pelbagai warganegara Afrika, di perairan Zawiya hingga barat Tripoli.
Wanita dan 17 kanak-kanak adalah antara mereka yang berjaya diselamatkan, kata Kacem dan menambah cuaca buruk menyukarkan operasi itu.
Sepanjang hujung minggu, 10 pendatang mati dan puluhan yang lain, termasuk kanak-kanak, hilang di pantai Libya, menurut pertubuhan bantuan.
Sejak kejatuhan dan pembunuhan diktator Moamer Kadhafi pada 2011, Libya menjadi lokasi pelepasan utama bagi pendatang yang terdesak untuk ke Eropah.
Tahun lepas sahaja, seramai 3,116 orang maut dalam cubaan menyeberang, menurut Pertubuhan Antarabangsa Pendatang (IOM), termasuk 2,833 dari Libya.
Bagaimanapun, terdapat penurunan mendadak sejak musim panas 2017 susulan usaha oleh Itali yang menghalang para pendatang daripada cuba melakukan perjalanan. – AFP, 10 Januari, 2018..
Komen