JEPUN membuka pusat vaksinasi besar-besaran pertama hari ini dalam usaha mempercepat program vaksinasi Covid-19 menjelang Sukan Olimpik Tokyo yang bakal berlangsung dua bulan lagi.
Dua pusat tentera di Tokyo dan Osaka akan dibuka bagi memberi ribuan suntikan setiap hari yang dimulakan dengan warga emas bagi memerangi gelombang keempat pandemik berkenaan.
Sehingga kini hanya dua peratus penduduk Jepun berjumlah 125 juta diberi vaksin sepenuhnya – berbanding sekitar 40 peratus di Amerika Syarikat dan 15 peratus di Perancis.
Kritikan semakin meningkat susulan proses vaksinasi yang agak perlahan susulan pelbagai karenah birokrasi dan peraturan perubatan yang ketat.
Pusat vaksinasi Tokya menyasarkan sehingga 10,000 suntikan sehari manakala pusat vaksinasi Osaka sebanyak 5,000 suntikan sehari.
Kedua-duanya menggunakan dua dos suntikan vaksin Moderna yang dipersetujui digunakan di Jepun bersama dengan AstraZeneca pada Jumaat lalu.
Tetapi vaksin AstraZeneca tidak akan digunakan dengan segera kerana kebimbangan terhadap pembekuan darah yang sangat jarang berlaku.
Jepun mula memberikan vaksin Pfizer pada Februari kepada petugas perubatan dan kemudiannya kepada mereka berusia lebih 65 tahun ke atas. – AFP, 24 Mei, 2021.
Komen