Kisah seorang Yahudi yang mencuri baju besi Ali


KISAH ini memang masyhur. Sering kali diselitkan dalam ceramah yang menyentuh tentang keadilan dalam Islam.

Ada beberapa riwayat mengenai kisah ini. Dalam riwayat Imam al-Baihaqi, diceritakan Saiyidina Ali (r.a) telah hilang baju besi dalam peperangan Siffin. Beberapa hari kemudian Ali melihat baju itu dipakai oleh seorang Yahudi. Ali lalu meminta baju itu dipulangkan kepadanya.

“Ini milik saya,” kata Ali.”

“Tidak, baju ini milikku sejak dulu,” jawab si Yahudi.

Keduanya-duanya saling mendakwa akan hak masing-masing ke atas baju besi itu. Akhirnya, Ali membuat tuntutannya di mahkamah.

Ali ketika itu Khalifah, Amirulmukminin – ketua negara. Tuntutannya dibawa ke hadapan Hakim Syuraih.

“Yang Arif Tuan Hakim! Baju besi yang dipakai oleh orang ini adalah kepunyaanku. Ia hilang daripada tanganku dalam peperangan Siffin yang lalu,” Khalifah Ali memulakan kes tuntutannya.

“Apakah pembelaan kamu terhadap tuntutan ini?” tanya Hakim kepada si Yahudi itu.

“Tidak Yang Arif Hakim, baju ini milik saya,” jawab si Yahudi dengan sungguh-sungguh.

“Wahai Ali, adakah kamu ada saksi yang membenarkan baju ini kepunyaan kamu?” tanya Hakim.

“Ada Yang Arif Hakim. Anak-anakku, Hassan dan Husain tahu baju besi ini milik saya,” jawab Khalifah Ali.

“Saksi anak sendiri untuk bapanya tidak boleh diterima menurut hukum Islam,” kata Hakim sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Si Yahudi mula tersenyum mendengar kata-kata itu. Berkata si Khalifah, “Tapi kedua-dua ini adalah cucu Rasulullah (s.a.w).” Hakim pun berkata, “Dalil itu tidak boleh digunakan dalam kes ini.”

Kesudahan kisah ini sudah dimaklumi ramai.

Apa yang hendak diketengahkan di sini ialah setiap pihak di hadapan pengadilan tidak diistimewakan. Hatta dia seorang Khalifah, ketua negara.

Bandingkan kisah seorang selebriti yang dilaporkan akan disiasat kerana tidak memakai pelitup muka semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Seremban baru-baru ini.

Menurut ketua Polis Seremban Mohd Said Ibrahim, satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut yang mendakwa bahawa selebriti tersebut, yang memakai niqab, tidak memakai pelitup muka di bawah niqabnya.

Mohd Said berkata kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Bayangkan. Selebriti tersebut berada di mahkamah untuk berdepan dengan pertuduhan di bawah Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Dalam mahkamah, ada pegawai polis. Bila kes dipanggil oleh jurubahasa, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) akan memohon agar pertuduhan dibacakan terhadap orang kena tuduh (OKT).

Pertuduhan akan dibaca dan diterangkan kepada OKT dan OKT akan ditanya sama ada dia mengaku salah atau tidak bersalah. Semua ini di hadapan seorang Majistret.

Gambar selebriti yang tular jelas menunjukkan, walaupun memakai niqab, tidak ada pelitup muka di bawah niqabnya, dan hidung dan mulutnya dapat dilihat. Jika dia memasuki mahkamah dalam keadaan yang sama, bagaimana tiada seorang pun – Majistret, TPR, pegawai polis – tangkas mendapati bahawa OKT tidak memakai pelitup muka dan oleh sebab itu tidak mematuhi SOP Kementerian Kesihatan yang diwajibkan ke atas semua.

Jika gagal mematuhi SOP, selebriti tersebut sepatutnya dikeluarkan daripada mahkamah, dikompaun di bawah seksyen 25 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), dan diperintahkan memakai pelitup muka. Selepas itu barulah dia boleh memasuki mahkamah semula.

Terpegunkah semua pegawai undang-undang di dalam mahkamah dek seorang selebriti?

Dalam kisah seorang Yahudi yang mencuri baju besi Khalifah Ali, yang terpegun ialah si Yahudi tersebut.

Terpegun dek keadilan dalam Islam. Pihak-pihak di hadapan pengadilan dilayan sama. Hakim tidak terpegun dek status mana-mana pihak.

Si Yahudi pun masuk Islam. – 24 Mei, 2021.


* Hafiz Hassan merupakan pembaca The Malaysian Insight. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen