DUA wartawan Reuters dihadapkan di sebuah mahkamah di Myanmar hari ini di mana mereka berdepan dakwaan di bawah kesalahan kerahsiaan yang membawa hukuman 14 tahun penjara, ketika desakan pembebasan mereka semakin meningkat.
Warga Myanmar Wa Lone, 31, dan Kyaw Soe Oo, 27, ditahan sebulan lalu selepas menerima dokumen daripada dua anggota polis ketika makan malam di sebuah restoran di Yangon.
Mereka ditahan di bawah Akta Rahsia Rasmi selepas meninggalkan restoran tersebut atas tuduhan memiliki dokumen yang didakwa diperoleh “melalui penipuan”.
Kedua-duanya sedang membuat laporan tentang kempen ketenteraan di wilayah Rakhine yang menyebabkan 655,000 umat Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos, keganasan yang dikutuk oleh PBB sebagai pembersihan etnik.
Isu itu sangat sensitif di Myanmar.
Reuters menegaskan wartawan mereka tidak melakukan kesalahan, manakala keluarga mereka mendakwa kedua-duanya dianiaya.
Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah mengetuai tuntutan antarabangsa supaya kedua-dua wartawan tersebut dibebaskan, dan Amnesty International semalam mengulangi rayuannya supaya mereka dibebaskan segera.
“Mereka cuma melakukan tugas sebagai wartawan,” kata James Gomez, pengarah Amnesty International bahagian Asia Tenggara dan Pasifik.
Bekas presiden AS Bill Clinton juga menyuarakan isu itu.
“Kebebasan akhbar sangat kritikal untuk masyarakat yang bebas, dan penahanan wartawan tidak dapat diterima di mana-mana,” katanya menerusi Twitter Isnin lalu.
“Wartawan Reuters yang ditahan di Myanmar harus dibebaskan dengan segera.”
Kes itu mengundang perhatian kepada masalah peralihan Myanmar terhadap demokrasi selepas hampir lima dekad di bawah pemerintahan tentera. – AFP, 10 Januari, 2018.
Komen