Polis, tentera maut dalam pertempuran sengit di timur Myanmar


Myanmar kini dilanda kekacauan susulan rampasan kuasa sejak Februari lalu. – Gambar EPA, 24 Mei, 2021.

PULUHAN anggota polis dan tentera Myanmar terbunuh dalam satu pertempuran sengit di timur negara itu semalam, kata kumpulan pemberontak.

Myanmar kini dilanda kekacauan susulan rampasan kuasa sejak Februari lalu. Kumpulan pemantau tempatan berkata sekurang-kurangnya 815 orang awam terbunuh akibat kekerasan tentera.

Keganasan itu mendorong gerakan anti-junta membentuk “Angkatan Pertahanan Rakyat” (PDF)  yang dianggotai orang awam dan menentang pasukan keselamatan menggunakan senjata buatan sendiri.

Pertempuran hujung minggu lalu berlaku di timur Myanmar, terutamanya di bandar Demoso di Kayah dan juga di Shan.

Seorang anggota PDF yang hanya mahu dikenali sebagai Thet Wai berkata sekurang-kurangnya 20 pegawai polis terkorban semalam, dan kumpulannya telah menawan sebuah balai polis di bandar Moebyel, di Shan, yang terletak di timur ibu negara Naypyidaw.

Media tempatan melaporkan pemberontak turut menahan empat anggota pasukan keselamatan selepas membakar balai polis.

“Hari ini adalah hari penaklukan,” Thet Wai, 29, memberitahu AFP.

“Tetapi saya juga bimbang sebab hari ini kami berdepan dengan serangan udara dan kereta kebal. Senjata mereka jauh lebih baik.”

Thet Wai berkata tentera Myanmar melancarkan serangan menggunakan helikopter di Demoso, bandar di negeri Kayah sejauh 40km ke selatan.

Seorang lagi pejuang di Demoso berkata sekurang-kurangnya 13 tentera Myanmar terbunuh semalam, manakala empat anggota PDF cedera.

“Kami mahu tawan balai polis mereka, tetapi mereka gunakan serangan udara, dan kami juga tidak dapat menyekat trak pasukan bantuan mereka yang masuk ke bandar.

“Kami perlu berundur,” katanya.

Sementara itu, seorang pemimpin kanan Parti Progresif Nasional Karenni - kumpulan etnik bersenjata yang memiliki kubu kuat di Kayah-  berkata pertempuran berterusan hingga malam tadi

Beliau mengesahkan tentera menggunakan kereta kebal, helikopter dan serangan mortar di Demoso dan Loikaw, ibu negeri Kayah. – AFP, 24 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen