Perunding perkahwinan terlepas musim kahwin kerana PKP 3.0


Bernard Saw

Mei dan Jun bulan yang sibuk dengan majlis perkahwinan sebelum pandemik Covid-19 melanda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2021.

SUDAH menjadi kebiasaan Mei dan Jun bulan yang sibuk dengan majlis perkahwinan sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Bagaimanapun, perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 menyebabkan perniagaan perunding perkahwinan terjejas teruk.

Pengusaha berkata mereka terpaksa memulangkan kembali bayaran kepada ramai pelanggan yang telah merancang mengadakan perkahwinan sepanjang Mei dan Jun.

Ketika ini, perhimpunan sosial masih dilarang di bawah PKP 3.0 di seluruh negara.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia Zarinah Mohideen berkata, sekurang-kurangnya 30% syarikat perancang perkahwinan gulung tikar sejak tahun lepas.

“30% ini adalah secara relatifnya pengusaha baharu dalam industri ini, berusia kurang dari lima tahun.

“Baki 70% pengusaha yang telah lama menjalankan perniagaan ini masih cuba bertahan.”

Mei dan Jun bulan yang ditunggu-tunggu perancang majlis kerana kebiasaannya banyak majlis perkahwinan dan majlis sosial diadakan sepanjang dua bulan ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mei, 2021.

Pada Januari hingga Mac, para perancang perkahwinan berjaya sedikit sebanyak memperoleh pendapatan melalui majlis kahwin dan sosial di kawasan yang dikenakan PKP Pemulihan (PKPP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Pendapatan dalam tempoh tersebut membolehkan perancang perkahwinan membayar gaji pekerja dan menanggung kos untuk sementara waktu,” kata pengarah urusan Zarlith Events & Management, yang telah berkecimpung dalam perniagaan ini sejak 23 tahun lalu.

Mei dan Jun bulan yang ditunggu-tunggu perancang majlis kerana kebiasaannya banyak majlis perkahwinan dan majlis sosial diadakan sepanjang dua bulan ini. PKP 3.0 dilaksanakan sejak 6 Mei di beberapa bahagian di Selangor dan di Kuala Lumpur, sebelum diperluas ke seluruh negara dari 12 Mei hingga 7 Jun.

Semua acara rasmi dan peribadi, serta acara sosial, dilarang. Ini termasuk jamuan makan, perayaan Hari Raya, upacara pertunangan, perkahwinan, upacara ulang tahun, hari lahir dan parti.

Ketika PKP, Zarinah berkata syarikatnya mendapat permohonan pembayaran balik RM400,000, tetapi berjaya memujuk beberapa pelanggan dan mengurangkan jumlahnya menjadi RM100,000.

“Kami berusaha meyakinkan pelanggan menurunkan jumlah bayaran balik yang diminta.

“Kami tidak boleh memaksa siapa pun dan kami tidak mahu berakhir di mahkamah, jadi buat beberapa orang, kami sekadar membayat balik.”

Setiap syarikat menangani pemulangan wang secara berbeza, dengan peratusan berbeza, malah ada beberapa syarikat menolak untuk memenuhi permintaan tersebut.

Zarinah berkata ada kes yang diajukan ke pusat timbang tara oleh pelanggan yang tidak berpuas hati dengan pembayaran balik mereka. – 24 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen