-2.jpg)
MASA bahas Rang Undang-Undang Langkah Sementara Covid-19 dan Belanjawan 2021 saya ada cadangkan kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz untuk pertimbang naikkan had hutang ke 65-70%. Seingat saya beliau ada jawab sepintas ada ahli Parlimen bahas ini dan kerajaan akan naikkan jadi 65% (seingat saya). Saya fikir hal ini perlu dijelaskan dengan baik kepada umum.
Seingat saya had siling hutang telah dinaikkan kepada 55% oleh Najib Razak selepas berdepan dengan krisis ekonomi 2008/2009.
Bagi yang muda atau lupa, pada tahun 2010 menteri Idris Jala pernah kata jika Malaysia kekalkan corak belanjawan seperti pada masa itu, kita boleh ‘bankrap’ pada tahun 2019. Sudah tentu kemudian beliau ‘terpaksa’ tarik balik kenyataan tersebut.
Apa maksud Idris Jala pada waktu itu? Kita imbas balik. Belanjawan 2008 Abdullah Ahmad Badawi umum dalam RM177 bilion. Belanjawan 2009 lebih kurang RM207 bilion. Tahun itu Najib ganti Pak Lah. Ya, walaupun Pak Lah umum belanjawan besar, beliau kena turun sebab Umno hilang dua pertiga dalam PRU12.
Bagaimana corak Belanjawan pada zaman Pak Lah? Daripada keseluruhan Belanjawan, 88% diguna untuk tujuan pengurusan. Bakinya untuk tujuan pembangunan. Tak cukup 12%, kita belanja defisit (baca: berhutang untuk tampung keperluan pembangunan).
Belanja defisit
Sebenarnya sejak Merdeka kita sentiasa berbelanja defisit. Hanya ada satu tempoh yang relatif panjang kita amal belanjawan berhemah iaitu semasa Anwar Ibrahim jadi Menteri Kewangan. Ada lebihan, kita bayar lebih sikit hutang dan simpan. Zaman itu pernah AS$1 bersamaan RM2.50.
Kesan daripada berbelanja defisit ini, kita mengumpul hutang. Defisit ialah jumlah belanjawan yang kurang dalam satu tahun kewangan. Hutang bersamaan jumlah defisit terkumpul. Dalam ekonomi hutang ada fungsinya dan diimbangi oleh fungsi konsep lain termasuk berjimat.
Oleh kerana zaman Pakatan Harapan banyak bercakap tentang hutang, saya menjadi sedikit rimas. Saya cenderung kepada ekonomi liberal (baca: perbelanjaan berhemah). Tapi saya kurang gemar meratib isu hutang tanpa pendekatan kreatif. Politik adalah tentang diplomasi. Mesti kreatif tangani masalah.
Isu yang kita hadapi hari ini (baca: keperluan kewangan bagi menangani Covid-19), sebenarnya berkait rapat dengan isu bagasi ini. Tak ramai faham. Jika faham pun mungkin tak ramai pernah akses data-data yang ada (kena baca buku-buku laporan ekonomi yang membosankan). Jadi saya mahu cuba kongsi, ya.
Balik kepada persoalan kenapa Idris Jala kata 2019 boleh ‘bankrap’ jika kekal corak Belanjawan pada waktu itu (2009)? Tadi dah tunjukkan 88% belanja mengurus, 12% belanja pembangunan. Terpaksa berhutang untuk tambah belanja pembangunan.
Dari segi peraturan kewangan kerajaan, kita hanya boleh berhutang untuk dua tujuan: 1) pinjaman pembangunan, 2) membayar hutang lama. Hutang luar pula dihadkan hanya kepad RM35 bilion sahaja. Jadi kita banyak berhutang dengan institusi dalam negara.
Ini kena faham kenapa bila Dr Mahathir Mohamad umum pakej rangsangan masa krisis Sheraton dulu (sekitar RM20 bilion) dan kemudian Muhyiddin Yassin umum pakej tambahan lagi (yang didakwa RM250B), suntikan fiskal (baca: kewangan secara langsung) sebenar bukanlah sebanyak itu.
Tadi saya sebut zaman Pak Lah belanja mengurus lebih kurang 88%. Belanja mengurus ini apa? Ada tiga perkara besar: 1) gaji penjawat awam, 2) pencen, 3) subsidi. Ada lagi yang lain-lain tapi ini yang besar. Jadi apa cara nak kurangkan belanja mengurus?
Pilihan pertama, kurangkan penjawat awam? Susah. Najib cuba buat SBPA pada tahun 2011/2012. Ditolak majoriti besar penjawat awam. Antara sebab Najib juga tak dapat majoriti dua pertiga dalam PRU-13. Kena faham, ini sebab kerajaan susah nak convert pekerja kontrak walaupun mereka frontliners.
Dulu Bank Dunia, IMF dan institusi lain pernah sebut jumlah penjawat awam kita ramai. Tapi bila Tony Pua sebut, terus dijadikan isu kaum sebab sektor awam kita majoriti besar Melayu. Kesian Tony belajar ekonomi tapi komen ekonomi beliau dijawab dengan sentimen politik.
Isu penjawat awam ini pernah timbul berkali-kali. Ramai banding nisbah penjawat awam dengan penduduk bekerja. Malaysia ada lebih kurang 1.6 juta penjawat awam berbanding sekitar 16 juta penduduk bekerja. Kira dalam 10%. Ada yang kata negara lain tak masukkan tentera dan guru.
Dalam aspek ekonomi, bukan nisbah pekerja sahaja mesti dilihat, tetapi yang lebih penting berapa peratus perbelanjaan negara diguna untuk menampungnya. Di sini isu sebenar ‘bloated government’ tadi. Ada isu ekonomi lain juga sebab dasar kita untuk sedia pekerjaan penuh (<4% pengangguran).
Ya, sebab itu juga kita tak setuju pelantikan kabinet dan timbalan menteri yang terlalu ramai malah lantikan politik dalam GLC dan GLIC.
Pilihan kedua, pencen. Ini tak boleh buat apa sebab sudah berkhidmat. Tahun 2000 bayaran pencen tahunan sekitar RM4 bilion. Kini sekitar RM26 bilion. Bayangkan kita menuju masyarakat menua (ageing). Kini sekitar 8%, 2030 unjuran 15%) dan 2050 30%! Ya, saya pun tua masa ni jika panjang usia.
Sebab itu sejak beberapa tahun lalu timbul konon nak hapuskan pencen dan sebagainya. Tak mustahil nanti tukar kepada caruman KWSP (pay as you go). Ini antara sebab kenapa hari itu nak buat i-Sinar tak mudah. Masalah akan lebih besar nanti. Sekitar 65% ada simpanan kurang RM50k masa usia pencen.
Daripada 65% itu, bukan semua ada simpanan RM50,000 ngam-ngam. Tahu purata caruman 65% tu berapa? Tak sampai RM15k! Lagi 11% simpanan kurang RM73,000! Bayangkan ramai hanya ada simpanan kurang RM10,000 masa usia pencen. Kita antara negara paling cepat menua dan jangka hayat juga bertambah.
65% (simpanan pencen
Mereka hidup dengan hutang. Tak cukup hutang isi rumah kita tertinggi di rantau Asia, mereka berhutang dengan Ah Long. Saya sebut di Dewan Rakyat tentang semua ini dan kita mesti serius memikirkan semua masalah ini jika tidak mahu menjadi negara gagal (failed state) nanti!
Sebab itu kita kadang kala dengar cerita nak naikkan had usia pencen. Kalau tengok bantuan warga emas pun dah diumum usia lantai yang baru. Semua ini ada kaitan dengan kedudukan ekonomi dan faktor-faktor yang mempengaruhinya tadi.
Pilihan ketiga, kurangkan subsidi. Ini yang Najib buat 2009-2018. Zaman Pak Lah subsidi kita sekitar RM74 bilion. Jumlah ini sekitar 41% Belanjawan 2008. Najib perlahan-lahan kurangkan subsidi. 2018 seingat saya sekitar RM26 hingga RM28 bilion. PH naikkan sikit tak silap saya RM35B.
Tapi Najib agak kreatif. Beliau kurang subsidi misalnya gula, digunakan sebahagian untuk buat program popular di bawah pelbagai program 1Malaysia. Nampak macam banyak buat benda baru. Ini maksud saya kreatif dalam tangani isu belanja mengurus yang tinggi. Tapi, malangnya, belanja mengurus tetap tinggi zaman Najib.
Dalam semakan, dan saya sebut dalam perbahasan di Dewan Rakyat, lima tahun terakhir belanja mengurus Najib berada antara 95%-99%!
Jadi, apa guna potongan subsidi daripada RM74 bilion zaman Pak Lah kepada kurang RM30 bilion zaman Najib? Objektif pengurangan belanja mengurus untuk lebihkan belanja pembangunan itu tidak tercapai! Maka Najib memperkenalkan GST sebagai usaha tambah hasil kerajaan.
Bayangkan, berdasarkan kerangka kewangan kerajaan yang saya sebut di atas, tidak ada pemimpin dan parti politik mudah menjadi popular selepas ini. Kita mewarisi bagasi yang akan membebankan kita untuk satu tempoh panjang, kecuali jika kita sedar dan mahu betulkan bersama.
Sebagai AJK Pilihan Khas Belanjawan di Dewan Rakyat sebelum ini, saya gesa mesyuarat tentang kedudukan fiskal ini dibuat. Antara ahli mesyuarat ketika itu ialah Mustapa Mohamed, Khairy Jamaluddin, Kelvin Yii, Alexander Nanta Linggi, Abdullah Che Naim Cha Kee Chin.
Saya sebut tentang semua isu yang sedang menanti kita di depan. Berdasarkan pelan konsolidasi Kementerian Kewangan (sejak zaman BN), kita sasar defisit tahunan sekitar 3% dan pertumbuhan 5%. Dalam jangka masa panjang nanti boleh catch up. Sebab itu hutang tak pernah kurang dan tak akan kurang untuk satu tempoh.
Pertumbuhan memang jalan paling baik mengatasi defisit sekaligus hutang. Sama macam berniaga, keuntungan yang akan bayar balik pelaburan. Isunya ialah bagaimana jika pertumbuhan tersasar? Lebih malang jika kita anggap duit kerajaan boleh berbelanja apa saja sebab ia akan trickle down.
Saya cadang kepada Kementerian Kewangan untuk tingkat siling hutang kepada 60% dalam mesyuarat itu. Pengarah Belanjawan keberatan. Hujah saya ialah kenaikan ini mesti diguna untuk tujuan khas memastikan projek yang beri pulangan besar (atas pertimbangan hutang hanya boleh dibuat untuk tujuan pembangunan tadi).
Bila Menteri Kewangan kemuka usul naikkan siling hutang kepada 60% bagi menangani Covid-19, saya bahas dan usul jadikan 65-70%. Asasnya ialah RUU Langkah Sementara ini dirancang kuatkuasa sehingga tahun 2022. Jika kita ambil defisit 3% dalam keadaan biasa, dua tahun sudah 6%.
Tapi Covid-19 ini keadaan luar biasa dan tidak pernah berlaku (extraordinary and unprecedented) dalam tempoh satu generasi ini. Impaknya besar. Jadi saya jangkakan keperluan kita lebih besar. Isunya ialah apakah kita boleh gunakan untuk belanja mengurus?
Saya tidak benar-benar melihat situasi kewangan negara-negara lain sebagai perbandingan. Tetapi tidak mustahil dunia akan terpaksa duduk bersama merumuskan situasi kewangan masing-masing yang pastinya memberi kesan kepada tukaran mata wang dan potensi pelaburan.
Saya yakin kebimbangan Menteri Kewangan ialah situasi pasca Covid-19. Namun kita tidak banyak pilihan. Pilihan sukar yang ada di depan kita memerlukan keputusan bersama dengan perakuan kepada masalah bagasi yang kita pikul.
Kita pernah membuat perbelanjaan off-budget di zaman Najib. Off budget ialah perbelanjaan di luar Belanjawan yang diumum. GLC/GLIC buat, pemimpin kerajaan claim kredit. Hutang atas nama GLC/GLIC yang didedahkan mencecah RM1 trilion jika campur dengan hutang langsung kerajaan (RM725 bilion Jun 2018).
Masalah ekonomi kita rentetan Covid-19 hanya mendedahkan banyak realiti yang org politik kurang mahu sebut sbb tidak popular. Bersediakah kita bersikap negarawan untuk bersama membawa negara kita ke landasan penyelesaian tuntas? – 23 Mei, 2021.
* Amin Ahmad ialah ahli Parlimen Kangar. Beliau ialah Pengerusi Kaukus Ahli Parlimen Muda Dewan Rakyat, ahli jawatankuasa pemandu Jaringan Ahli Parlimen Muda Bank Dunia dan pernah dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Belanjawan di Dewan Rakyat.
Komen