Malaysia perlu sertai 62 negara perjuang ketepikan sementara pelindungan paten vaksin


SETELAH menunggu sejak Oktober lepas, baru sekarang agaknya Malaysia bersuara dalam isu harta intelek vaksin. Adakah isu politik dalaman, pengurusan PKB dan masalah kes yang meningkat membawa Malaysia agak bisu dan ketinggalan dalam isu mendesak di peringkat antanbangsa iaitu bekalan vaksin. 

Proses vaksinasi yang lambat juga menjadi satu lagi kelemahan besar dalam strategi melawan Covid-19 kita. Kenyataan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata bahawa Asia harus menerajui langkah membuka perlindungan paten bagi menghasilkan versi generik ubat-ubatan penting yang lebih murah untuk menyelamatkan nyawa, khususnya bagi penyakit kritikal dari Covid-19 (C-19) hingga HIV/Aids.

Malah beliau menyambut baik kenyataan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden yang menyatakan hasrat menyokong usaha mengetepikan sementara perlindungan harta intelek (IP) bagi vaksin Covid-19, Lanhkah itu  katanya seharusnya membuka laluan ke arah transformasi penuh sistem paten farmaseutikal.

“Menghentikan ia buat sementara tidak memadai. Kewajipan kita adalah untuk mengetepikan ia secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan yang disampaikan menerusi rakaman video di persidangan Nikkei’s Future of Asia di Tokyo.

Pada bulan Oktober tahun lepas, India dan Afrika Selatan telah mengusulkan cadangan supaya paten vaksin yang miliki syarikat-syarikat farmekeutikal Barat diketepi atau ditangguhkan buat sementara. Susulan usul kedua-dua tersebut sebanyak 62 negara turut bersetuju dengan cadangan tersebut. 

Tidak nampak Malaysia dalam kumpulan 62 negara tersebut. Berdasarkan kenyataan Muhyiddin sebagai langkah pertama adalah wajar Malaysia mengumumkan secara rasmi akan menyertai 62 negara lain sebagai penaja bersama mengusulkan cadangan supaya mengenepikan sementara Perjanjian Perdagangan Berkaitan Harta Milik Intelektual atau TRIPs.

Dalam usulan tersebut India dan Afrika Selatan telah mencadangkan supaya Seksyen 1, 4, 5 dan 7 daripada Bahagian II perjanjian TRIPS  berkaitan dengan hak cipta, paten, rahsia perdagangan, perlindungan daripada pendedahan maklumat dan reka bentuk industri diketepikan buat sementara sehingga majoriti penduduk dunia disuntik dan mempunyai imuniti kepada virus C-19.

Namun cadangan ini tidak dipersetujui syarikat farmakeutikal dan sebilangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) memandangkan mereka tidak mahu kehilangan monopoli dalam penghasilan vaksin  dan mereka negara sedang membangun seperti Malaysia bergantung dalam pembelian vaksin kepada Barat. Antara alasan yang diberikan ialah penanguhan sementara TRIPS akan menjejaskan penghasilan vasin, menurunkan kualiti vaksin dan merebaknya penghasilan vaksin palsu. 

Tetapi di mana kemanusiaan Korporat Transnasional Farmakeutikal dan negara Barat dalam situasi meruncing ekoran pandemik C-19 di serata dunia? 

Menurut Oxfam, sebuah pertubuhan antabangsa yang memperjuangkan ketidakadilan dan membasmi kemiskinan sejagat, negara kaya yang terdiri daripada 13%  penduduk dunia tetapi telah membeli dan menyimpan lebih setengah daripada bekalan vaksin di dunia. 

Ini bermakna sumber vaksin yang banyak berada dalam kalangan negara kaya dan negara sedang membangun dan miskin akan berhadapan dengan persaingan mendapat sumber vaksin sedikit. 

Tujuan penangguhan hak intelektual vaksin ialah supaya negara Selatan diberikan ruang untuk menghasilkan vaksin generik dengan mendapat lesen daripada syarikat pemilik vaksin di Barat. 

TRIPS adalah salah daripada beberapa perjanjian kaitan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang bertujuan melindungi harta milik intelektual serata dunia. Walaupun TRIPS secara dasarnya membenarkan dasar ruang keterbukaan peraturan yang anjal bagi negara anggota melakukan apa yang perlu dilakukan namun dalam konteks kesihatan awam (yang lebih ketat daipada perjanjian lain) TRIPs agak ketat dalam mengawal IP dan itulah yang menyebabkan isu mengepikan sementara TRIPS dipinta oleh negara-negara sedang membangun.

Walaupun langkah AS yang  berhasrat menyokong usaha mengetepikan sementara perlindungan IP bagi vaksin Covid-19 dialu-alukan oleh Muhyiddin tetapi ia tidak semudah yang disebut. Jerman dan beberapa negara Eropah membantah hasrat AS serta korporat transnasional farmakeutikal Barat tidak bersetuju dengan kenyataan yang dibuat Biden itu. 

Namun menanggguhkan sementara IP tidak mempercepatkan proses penghasilan vaksin. Sesuatu isu yang dibincangkan dalam pusingan-pusingan rundingan TRIPS dan seumpamanya dalam WTO akan memakan masa bertahun-tahun untuk diluluskan. Lazimnya dalam rundingan seperti akan banyak perdebatan dan perbincangan dan akhirnya konsensus sukar dicapai. 

Kenyataan AS ibarat menanam tebu dibibir.

Sebagai memberikan tekanan kenyataan rayuan bersama oleh 388 Ahli-Ahli Parlimen Eropah dan Ahli Parlimen Nasional Eropah menggesa EU dan negara-negara anggotanya menyokong pengenepian sementara TRIPS.  Dalam kenyataan tersebut mereka berdiri bersama-sama dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan lebih 100 negara, ratusan organisasi awam dan kesatuan sekerja bersama-sama menggesa EU dan Suruhanjaya Eropah membincangkan sehingga tahap tertinggi dan menyokong penangguhan sementara tanggungjawab di bawah TRIPS.

Dalam hubungan ini suatu deraf keputusan perundingan ke arah perjanjian pandemik untuk dipertimbangkan pada perhimpunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang ke-74 diedarkan kepada negara anggota WHO. Ini berikutan kebanyakan kerajaan sedang berjuang membendung wabak C-19 dengan ancaman perintah berkurung, tidak katil di hospital dan kekurangan tangka oksigen, vaksin, ubat dan dianostik.

Majlis Perhimpunan Kesihatan Sedunia bermula pada 24 Mei sehingga 1 Jun. Draf keputusan diusul oleh Chile, EU, Tunisia dan Indonesia sebagai mewakili Kumpulan negara sahabat dalam (Albania, Chile, Costa Rica, Croatia, Fiji, France, Jerman, Greece, Indonesia, Itali, Kenya, Republik Korea, Belanda, Norway, Portugal, Romania, Rwanda, Senegal, Serbia, Afrika Selatan, Sepanyol, Thailand, Trinidad dan Tobago, Tunisia, Ukraine, United Kingdom).

Dalam melanggar Peraturan 41 and 86 daripada Prosedur Peraturan Majlis Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) deraf ingin mewujudkan mesyuarat antara kerajaan bagi menyedia dan merundingi persidangan rangkakerja WHO mengenai persediaan pandemic dan gerak balas yang akan dilakasanakan di bawah Artikel 19 Perlembagaan WHO. 

Tidak nampak juga nama Malaysia dalam senarai deraf keputusan.  

Adakah Rusia dengan vaksin Sputnik daripada Rusia dan China dengan vaksin Sinovac sanggup mengenepikan sementara IP mereka supaya vaksin generik boleh dihasilkan di negara Selatan? Kedua-dua negara kuasa besar itu harus menunjukkan keprihatinan kemanusiaan mereka dalam membantu negara miskin dan negara sedang membangun mendapatkan bekalan vaksin. Dalam hal ini mereka juga tidak perlu mementingkan aspek keuntungan semata!

Ekoran kekurangan bekalan dos vaksin dalam situasi sekarang dan rundingan penangguhan sementara IP vaksin yang di tahap awal, bagi negara kita, cadangan Majlis Presiden Pakatan Harapan meminta kerjasama rakyat Malaysia untuk menggesa agar Kerajaan menggunapakai “strategi tunda dos kedua” untuk melawan isu penambahan kes COVID-19 yang mendadak amat dialu-alukan. – 23 Mei, 2021.

* Ismail Hashim Yahaya merupakan pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen