KKM cadang hospital kanak-kanak UKM rawat pesakit Covid-19


KKM bercadang untuk menjadikan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM sebagai hospital Covid-19 bagi menangani peningkatan jumlah pesakit ICU. – Gambar Facebook Dr Noor Hisham Abdullah, 23 Mei, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bercadang untuk menjadikan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (HPKK UKM) sebagai hospital Covid-19 bagi menangani peningkatan jumlah pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU), kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua pengarah kesihatan itu dalam kenyataan semalam berkata perkara itu dibincangkan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, susulan jumlah pesakit kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan ICU naik mendadak.

Dr Noor Hisham berkata pemilikan sementara HPKK UKM sebagai hospital sementara Covid-19 dibuat mengikut Seksyen 3 and 4 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, dalam usaha menangani pandemik.

Hospital pengajar yang baru siap dibina dan terletak bersebelahan dengan Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu mempunyai kapasiti mencukupi untuk digunakan sementara sebagai hospital Covid-19, katanya.

“Hospital ini mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal/ICU (katil saiz dewasa), yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat Covid-19, khususnya mereka dengan gejala yang serius,” katanya dalam kenyataan di Facebook. 

HPKK UKM mempunyai kapasiti 243 katil termasuk 28 katil rawatan kritikal/ICU, yang berpotensi digunakan sementara sebagai hospital yang merawat Covid-19. – Gambar Facebook Dr Noor Hisham Abdullah, 23 Mei, 2021.

Menurut Dr Noor Hisham, berbanding dua minggu lalu, jumlah pesakit ICU di seluruh negara kini naik 60%, manakala Lembah Klang mencatat peningkatan lebih tinggi iatu 94% berbanding tempoh yang sama.

“Sebagai langkah menangani peningkatan mendadak kes Covid-19 kategori 4 dan 5 yang memerlukan katil rawatan kritikal/ ICU, pihak pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan dan UKM telah bertemu untuk membincangkan cadangan penggunaan HPKK UKM sebagai hospital Covid-19.”

Dr Noor Hisham Abdullah semalam berkata seramai 652 pesakit Covid-19 sedang dirawat di ICU, tambahan sembilan kes di wad kritikal berbanding 643 yang direkodkan pada Jumaat.

Beliau juga berkata seramai pesakit ICU 370 memerlukan bantuan pernafasan semalam, tambahan tujuh kes berbanding Jumaat.

Katanya lagi, penggunaan katil ICU di Lembah Klang telah melebihi kapasiti 113%, manakala seluruh negara 91%. – 23 Mei, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen