SEKURANG-kurangnya 16 peserta perlumbaan merentas gunung di China maut, manakala lima lagi hilang akibat angin kencang dan hujan batu, lapor agensi berita tempatan hari ini.
Laporan Xinhua menyebut lebih 700 anggota penyelamat dikerah ke Hutan Yellow River Stone dekat bandar Baiyin di wilayah barat laut Gansu untuk mencari peserta yang hilang.
Perlumbaan merentas gunung itu membabitkan jarak sejauh 100km dengan 172 peserta.
“Hujan batu dan angin kencang melanda kawasan pentas perlumbaan pada ketinggian antara 20 hingga 31 kilometer sekitar jam 1 pagi semalam” lapor Xinhua memetik ibu pejabat pasukan penyelamat.
“Suhu badan peserta turun dengan mendadak secara tiba-tiba. Sebahagian peserta hilang dan perlumbaan terpaksa dihentikan.”
Laporan turut berkata usaha pencarian dan menyelamat menjadi lebih sukar ekoran suhu di kawasan pergunungan turun mendadak berbanding semalam.
“Sehingga jam 3 pagi tadi, seramai 151 peserta disahkan selamat, dengan lima peserta yang cedera ringan diberi rawatan di hospital dan berada dalam keadaan stabil.”
Sementara itu, akhbar People’s Daily melaporkan 15 orang terkorban, manakal enam masih hilang.
Gansu, antara wilayah termiskin di China, terletak bersempadan dengan Mongolia di utara dan Xinjiang di sebelah barat.
Wilayah itu pernah dilanda banjir dan tanah runtuh dahsyat yang mengorbankan lebih 1,000 orang pada 2010. Gansu juga terdedah kepada gempa bumi. – AFP, 23 Mei, 2021.
Komen