Bekas pesakit bersyukur masih hidup, pemulihan pasca Covid-19 masih sukar 


Bernard Saw

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia kini 505,115 apabila 6,320 kes baharu direkodkan semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Mei, 2021.

BERNASIB baik masih hidup, itulah yang dirasakan oleh segelintir bekas pesakit Covid-19 selepas bertarung nyawa melawan virus berkenaan.

Masih sukar menghadapi pemulihan pasca jangkitan, dua daripada mereka berkongsikan pengalaman mereka agar semua orang tahu betapa teruknya kesan koronavirus terhadap badan manusia dan untuk memastikan masyarakat mengambil serius sekatan pergerakan yang dikenakan ketika negara berdepan pandemik.

Pulih bukan bererti ‘menang’

Gejala Covid-19 yang dialami jurugambar Soh Teong Kok adalah terlalu teruk sehinggakan beliau terpaksa diletakkan dalam keadaan koma. Beliau menerima rawatan selama empat hari di unit rawatan rapi (ICU).

Kini selepas pulih, beliau masih mudah berasa letih dan mudah terkena batuk.

“Seseorang itu tidak boleh merasakan dirinya telah menang atau bangga.

“Sekali kamu dijangkiti, masih terlalu lama untuk pulih. Walaupun saya telah pulih, saya tidak berani mengatakan yang saya menang melawan virus.

“Virus ini bijak. Kali pertama menjalani ujian, keputusannya negatif, yang mana ia adalah salah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Soh berkata beliau mengalami demam panas pada 21 April dan membuat keputusan utuk menjalani ujian PCR.

Keputusannya negatif namun beliau merasa letih serta mengalami insomnia.

Ketika menjalani satu lagi ujian pada 30 April, beliau merasa sangat letih dan hampir pitam hingga terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Selepas ujian itu, mereka membawa saya ke ICU yang mana saya perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.”

Beliau tersedar dari koma selepas empat hari dan dimaklumkan beliau adalah pesakit Tahap 5, yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebaik sahaja kamu sedar, kamu merasakan sudah berada di zon selamat, namun masih perlu pemantauan berterusan. Ini kali pertama badan saya dipasang pelbagai alatan.”

Selepas dibenarkan pulang, Soh memuat naik gambarnya di media sosial. Kesan intubasi di lehernya masih jelas kelihatan.

Kesunyian dan ketakutan ketika diasingkan, serta tergantung antara hidup dan mati, turut meninggalkan kenangan buruk di ingatannya.

Bersama gambar yang dimuat naik di media sosial, beliau turut menyatakan, “Apabila doktor dan jururawat beredar, hanya mesin dan tingkap kecil menjadi peneman. Saya berasa sangat gembira apabila jururawat kembali untuk memeriksa perkembangan saya atau ketika doktor menjalankan imbasan CT, dan akhirnya saya dibenarkan pulang.”

Menurutnya beliau turut berperang dengan perasaan untuk mencabut semua peralatan di badannya dan melarikan diri daripada ICU.

Sebaik ditempatkan di wad biasa, Soh berdepan cabaran baharu. Beliau mengambil masa tiga hari untuk menyesuaikan diri dengan makan, minum dan menggunakan tandas.

“Walaupun di wad biasa, saya masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan tiub makanan. Saya hanya mampu menelan air dengan perlahan.”– 23 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen