INDIVIDU yang mengenakan niqab atau perisai muka lutsinar tetap diwajibkan memakai pelitup muka sewaktu berada di tempat awam, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Jelasnya hanya pemakaian pelitup muka diwajibkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Kalau memakai face shield atau niqab dan sebagainya tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memakai pelitup muka sebab pelitup muka diwajibkan,” katanya.
Oleh itu individu yang mengenakan face shield atau niqab tanpa memakai pelitup muka tetap melakukan kesalahan mengikut akta tersebut, katanya.
Beliau ditanya ekoran siasatan dijalankan ke atas seorang usahawan selebiriti Noor Neelofa Mohd Noor yang didapati mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka di tempat awam.
Pelakon itu disiasat polis atas kes tidak mengenakan pelitup muka semasa hadir di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.
Banyak acara bual bicara yang disiarkan di televisyen juga didapati menunjukkan peserta program hanya mengenakan perisai muka lutsinar yang menunjukkan wajah, tanpa memakai pelitup muka.
Dalam sidang media sama, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah petang ini turut menyarankan orang ramai mengenakan dua lapis pelitup muka untuk menambah perlindungan.
Ia bagi menghadapi risiko jangkitan melibatkan varian baharu virus Covid-19 yang dikesan lebih agresif dan kini menjangkiti lebih setengah juga warga dan mengorbankan kira-kira 2,200 nyawa. – 22 Mei, 2021.
Komen