Pejuang tak akan sokong Perikatan demi pendaftaran, kata Dr Mahathir


Salhan K. Ahmad Noel Achariam

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad berkata Pejuang tidak akan berunding untuk menyokong Bersatu demi membolehkan partinya didaftarkan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 Mei, 2021.

PEJUANG tidak akan menawarkan sokongan semata-mata untuk membolehkan parti itu didaftarkan, tegas Dr Mahathir Mohamad yang berikrar akan terus menentang parti Bersatu.

Beliau tidak akan merundingkan perkara itu sama sekali, terutama dengan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin yang sengaja menolak pendaftaran Pejuang atas tujuan politik, katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu The Malaysian Insight, Pejuang tidak akan berunding untuk menyokong Bersatu demi membolehkan partinya didaftarkan.

“Tidak, tidak. Tak usah runding lah, kita tidak akan bersama dengan mereka,” katanya yang turut melihat Perikatan kini hanya mampu bergantung kepada perintah darurat untuk terus kekal berkuasa

Dr Mahathir berkata tindakan Hamzah jelas satu penipuan dan melanggar undang-undang kerana sengaja dibuat untuk menyekat lawan bertanding pilihan raya.

“Kita telah ikut semua syarat RoS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan). Walau syarat itu tidak munasabah pun kita ikut juga.

“Tapi RoS nampak tak ada bantahan sebab kita penuhi semua syarat. Tapi kononnya menteri kena buat keputusan. Dalam undang-undang, tidak sebut menteri kena buat keputusan,

“Menteri Hamzah khususnya, dia yang buat keputusan tidak mahu daftar. Jadi ini satu tindakan politik. Ini bukan ikut undang-undang,” katanya.

Beliau percaya keputusan itu sengaja dibuat oleh Hamzah dan juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu untuk menyekat Pejuang dari bertanding pilihan raya.

“Tapi Hamzah, Muhyiddin arah dalam pilihan raya, parti musuh tak dapat didaftar jadi mereka boleh menang tanpa bertanding.

“Ini penipuan, kerajaan secara terbuka tipu rakyat,” katanya lagi dalam wawancara yang dijalankan di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Tambahnya, usaha mendaftarkan Pejuang sudahpun dijelaskan kepada Hamzah sejak awal namun sengaja dilengah-lengahkan menteri tersebut.

“Saya jumpa dengan Hamzah. Dia tak beri pengakuan apa pun (untuk daftar Pejuang). Dia tanya ‘betul ke nak buat parti ini’. Saya kata apa tak betul pula, kita dah buat macam-macam.

“Tapi bila minta (kelulusan), dia (kata) ‘nanti, nanti nanti’. Sampai ke la ni tak bagi. Ura-ura kita dengar, mereka tak akan daftar parti lawan.

“Mereka berharap untuk menang pilihan raya dengan menghalang pembangkang daripada bertanding,” kata Dr Mahathir lagi.

Ditanya mengenai rancangannya sekiranya Pejuang tetap tidak didaftarkan apabila PRU15 diadakan, Dr Mahathir enggan mendedahkannya namun percaya parti itu berpeluang menang.

Ia berdasarkan pengalamannya memimpin Bersatu sehingga berjaya memenangi PRU14 walau pendaftaran parti tersebut dibatalkan Najib Razak, perdana menteri waktu itu.

“Saya tak boleh beritahu. Sebabnya anda tahulah, sebelum PRU14, apa yang Najib buat dia batalkan pendaftaran Bersatu, tapi kita tetap menang pilihan raya,” katanya.

Terbaru, Pejuang menerima amaran dari ROS untuk menghentikan segala kegiatan ahli dan penggunaan logonya.

Setiausaha agung penajanya, Amiruddin Hamzah berkata, amaran melalui surat 10 Mei itu diterima selepas mereka mengajukan permohonan berulang kali untuk meluluskan pendaftarannya.

Pejuang sudahpun memenuhi segala syarat yang ditetapkan ROS dan sehingga kini masih belum menerima maklum balas daripada Hamzah, katanya.

Ia membawa kepada semakan kehakiman yang difailkan Pejuang untuk memaksa Hamzah dan ROS membuat keputusan mengenai rayuan pertubuhan itu.

Dalam afidavitnya ke mahkamah, Hamzah antara lain memberi alasan rayuan itu mengambil masa untuk diputuskan kerana beliau menjalani rawaran dan kuarantin bagi kes Covid-19.

Mahkamah menetapkan 31 Mei untuk menetapkan keputusan ke atas permohonan tersebut.

Pejuang diasaskan Ogos lalu, setahun selepas Dr Mahathir dan penyokongnya disingkirkan dari Bersatu susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan percaturan Langkah Sheraton.

Seorang lagi penyokongnya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menubuhkan gerakan belia Muda yang kini sedang mengintai kerjasama dengan parti Warisan di Sabah.

Mengulas mengenai Muda, Dr Mahathir berkata partinya tidak menentang gerakan tersebut dan menyokong usaha politik yang bersih dan menolak rasuah.– 23 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen