Kebakaran hutan dekat Athens terkawal 


Kira-kira 55 kilometer persegi kawasan hutan pain serta beberapa tanah lain termasuk pertanian musnah dalam kebakaran di pergunungan Geraneia dekat Athens.– Gambar EPA, 22 Mei, 2021.

RATUSAN anggota bomba di Greece dikerahkan untuk memadam kebakaran berhampiran Athens yang berlarutan sejak tiga hari lalu. 

Kebakaran berkenaan kini terkawal berikutan cuaca baik memudahkan operasi pemadaman dijalankan. 

Kebakaran yang berlaku di banjaran pergunungan Geraneia, kira-kira 90 kilometer barat ibu negara berkenaan merupakan yang terbesar dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, kata ketua pasukan bomba Stefanos Kolokouris. 

Lebih 270 anggota bomba, dibantu 16 pesawat pemadam dan anggota tentera menyertai operasi berkenaan. 

Setakat ini tiada kecederaan dilaporkan namun beberapa buah rumah rosak dan musnah menyebabkan puluhan penduduk di perkampungan terlibat terpaksa dipindahkan. 

Keadaan cuaca yang baik membantu anggota bomba mara ke kawasan terjejas untuk mengawal kebakaran sejak Jumaat, namun masih terdaat beberapa kawasan yang apinya marak. 

Sementara itu, pensyarah pengurusan bencana alam sekitar dari Universiti Athens, Euthymios Lekkas berkata kebakaran terbabit menyebabkan 55 kilometer persegi kawasan hutan pain serta beberapa tanah lain termasuk pertanian musnah. 

“Ia merupakan bencana ekologi yang perlu diperbaiki bagi mengelakkan tanah runtuh dan banjir pada musim luruh,” katanya. – AFP, 22 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen