Komander tentera Nigeria maut dalam nahas udara


Leftenan Jeneral Ibrahim Attahiru dan pegawainya maut semalam selepas pesawat dinaiki terhempas akibat cuaca buruk di utara negara itu. – Gambar fail AFP, 22 Mei, 2021.

KOMANDER kanan tentera Nigeria Leftenan Jeneral Ibrahim Attahiru dan pegawainya maut semalam selepas pesawat dinaiki terhempas akibat cuaca buruk di utara negara itu, menurut pegawai.

Panglima tentera darat itu baru dilantik oleh Presiden Nigeria Muhammadu Buhari pada Januari lalu sebagai sebahagian rombakan pasukan tentera dalam usaha memerangi keganasan yang terus meningkat dan pemberontakan militan sejak lebih dari sedekad lalu.

Ibrahim meninggal dunia ketika berita juga tersebar pemimpin militan Boko Haram dari Nigeria, Abubakar Shekau dilaporkan cedera parah atau mungkin terbunuh selepas bertembung dengan kumpulan pemberontak sekutunya.

Buhari, bekas jeneral yang pertama kali dipilih pada 2015, menerima tekanan daripada sekutu dan pengkritik susulan pemerintahnya berusaha menangani masalah keselamatan yang semakin meningkat di negara paling ramai penduduk di Afrika.

Dalam satu kenyataan, Buhari berkata nahas itu satu tamparan hebat bagi negara pada saat angkatan tentera bersedia untuk mengakhiri cabaran keselamatan dihadapi negara ini.

Jurucakap tentera menerusi Twitter memaklumkan 10 pegawai lain, termasuk kru pesawat turut maut dalam nahas di wilayah Kaduna utara.

“Kejadian berlaku ketika pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaduna akibat cuaca buruk,” kata tentera dalam satu kenyataan.

Tentera Nigeria memerangi pemberontakan militan di Timur Laut negara itu sejak 2009, konflik yang mengorbankan lebih 40,000 orang dan lebih dua juta penduduk terpaksa berpindah.

Ibrahim pernah bertugas mengetuai serangan terhadap komandan Boko Haram Shekau di Timur Laut pada 2017. – AFP, 22 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen