JERMAN akan menguatkuasakan perintah kuarantin kepada individu yang tiba dari Britain susulan penyebaran varian Covid-19 yang dijumpai di India, kata Institut Kesihatan Robert Koch semalam.
Mulai esok, semua pelancong dari Britain perlu dikuarantin selama dua minggu, dan mereka yang memperoleh keputusan saringan negatif akan dilepaskan.
Hanya warganegara Jerman dan penduduk tempatan akan dibenarkan masuk dari Britain, sementara syarikat perkhidmatan penerbangan, kereta api dan bas dilarang membawa penumpang lain dari negara berkenaan.
Institut Kesihatan Robert Koch adalah agensi kerajaan di mana cadangan pusat kesihatan itu secara automatik akan diterima oleh pemerintah Jerman.
Hanya 11 negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin yang kini disenarai oleh Jerman dalam kategori zon berisiko tinggi dengan varian virus terbabit tersebar.
Varian India B.1.617.2 dianggap mudah berjangkit dan menjadi antara faktor ledakan jangkitan Covid-19 di India dalam beberapa bulan terakhir.
Rabu lalu, Setiausaha Kesihatan Britain Matt Hancock berkata 2,967 kes berkaitan varian itu dikenal pasti di Britain, terutama di London dan England barat.
Angka itu menunjukkan kenaikan 30% sejak Isnin.
Semalam, Menteri Kesihatan Jerman Jens Spahn menyuarakan keprihatinannya terhadap situasi di Britain, menekankan perlunya mencegah varian dari India menyebar ke negara itu.
Spahn berkata negara itu berjaya mengekang gelombang ketiga jangkitan, namun menggesa orang ramai tetap berwaspada.
Robert Koch semalam merekodkan 8,769 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam dan 226 kematian, dengan kadar kebolehjangkitan baharu nasional 67.3 bagi setiap 100,000 individu untuk tempoh tujuh hari terakhir. – AFP, 22 Mei, 2021.
Komen