TIDAK dianggap berdosa orang yang tidak menunaikan solat Jumaat kerana patuh sekatan dan larangan yang ditetapkan oleh pemerintah bagi mencegah penularan pandemik Covid-19, kata Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) membendung jangkitan wabak itu jatuh dalam kategori uzur yang dibenarkan syarak sama seperti misalnya mereka yang bermusafir, katanya.
Sehubungan itu katanya, tiada asas untuk mewajibkan mereka yang gagal solat Jumaat tiga kali berturut-turut supaya bertaubat dengan mengerjakan solat sunat taubat, seperti yang disebut oleh seorang pendakwah dalam sepotong video yang tular sejak beberapa hari lalu.
“Perlu diketahui meninggalkan solat Jumaat disebabkan keuzuran bukan satu dosa,” kata Asri dalam satu kenyataan hari ini.
Mufti Perlis berkata mentaati perintah pihak berkuasa dalam konteks SOP keselamatan dan kesihatan juga satu perkara yang wajib dan melanggarnya berdosa.
Beberapa pendakwah lain juga sejak semalam tampil memberi penjelasan susulan kegemparan yang ditimbulkan penceramah agama Asma Harun yang tersebar melalui media sosial.
Susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 12 Mei lalu, pihak berkuasa agama di negeri mengecilkan jumlah jemaah dibenarkan untuk solat Jumaat dan solat fardu berjemaah.
Jumlah itu dikecilkan lagi di beberapa negeri antaranya Perlis dan Perak minggu ini susulan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19, termasuk menyebabkan beberapa daerah diletakkan di bawah PKP diperketatkan (PKPD).
Asri berkata Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis menghargai kenyataan pendakwah itu yang mengingatkan umat Islam tentang kewajipan solat Jumaat.
Namun ungkapan “norma baharu yang merosakkan akidah” adalah satu perkara sangat bahaya kerana kebanyakan norma baharu sejak penularan Covid-19 adalah hal melibatkan soal fekah, dan bukannya akidah, jelas beliau.
“Untuk mengaitkannya dengan akidah sehingga membawa kepada kerosakan, ia suatu hal yang perlu dibuktikan secara yakin kepercayaan agama yang termasuk dalam al-Quran dan as-Sunnah sudah rosak.
“Jika tidak dakwaan itu mengelirukan dan boleh memberikan kesan yang tidak baik,” katanya.
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis juga menasihati pendakwah supaya berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan yang boleh memberi implikasi besar dalam kefahaman dan amalan agama. – 22 Mei, 2021.
Komen