Jika diberi pilihan, Dr Mahathir tak mahu bertanding lagi


Salhan K. Ahmad Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad kembali aktif di arena politik pada 2017 untuk berkempen bagi menumpaskan kerajaan pimpinan perdana menteri waktu itu, Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Mei, 2021.

DR Mahathir Mohamad mungkin tidak mahu bertanding lagi dalam pilihan raya, namun ia tidak bermaksud beliau akan bersara daripada politik.

Bekas perdana menteri itu memberitahu The Malaysian Insight, masih banyak lagi yang boleh disumbangkannya.

“Saya tidak tahu apa-apa pasal persaraan. Orang masih datang jumpa saya dan minta nasihat. Mereka minta bantuan saya dan jika saya boleh bantu, saya bantu.

“Seperti yang anda boleh lihat, saya masih boleh berfikir, bercakap dan buat perkara lain,” katanya dalam satu wawancara di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Ini bukan kali pertama Dr Mahathir menyuarakan kengganannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Dalam satu wawancara yang disiarkan pada Mac lalu, Dr Mahathir juga menyuarakan beliau tidak ingin lagi terlibat dalam kempen pilihan raya.

Ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau tidak akan bertanding sekiranya diberi pilihan.

“Saya belum tahu lagi (bertanding atau tidak). Jika saya cukup sihat, jika orang mahu pada saya, Jika saya perlu (bertanding), maka saya kenalah (bertanding).

“Tetapi, jika diberi pilihan, saya tidak mahu bertanding lagi,” katanya.

Dr Mahathir kembali aktif di arena politik pada 2017 untuk berkempen bagi menumpaskan kerajaan pimpinan perdana menteri waktu itu, Najib Razak.

Ia membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dan beliau seterusnya dilantik menjadi perdana menteri untuk kali kedua.

Beliau kemudian meletak jawatan pada Februari 2020 kerana menolak kerjasama Bersatu dengan Umno yang secara langsung menyebabkan kerajaan PH tumbang.

Dr Mahathir serta penyokongnya seterusnya membentuk Pejuang, parti yang dibentuk untuk memerangi rasuah dan memperjuang hak Melayu.

Muhyiddin Yassin yang kekal memimpin Bersatu pula mengetuai kerajaan Perikatan Nasional sebagai perdana menteri.

Walaupun enggan bertanding dalam PRU15, Dr Mahathir berkata beliau tidak akan terus bersara.

Beliau juga menegaskan PRU15 perlu ditangguhkan sehingga penggal Parlimen berakhir pada 2023 walau perintah darurat berakhir pada 1 Ogos.

Dr Mahathir percaya jangkitan Covid-19 akan meningkat semula sekiranya pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

“Sebab itulah (walau) selepas darurat berakhir, pilihan raya tidak patut diadakan,” katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada April lalu memberi jaminan sekali lagi untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya apabila jangkitan Covid-19 terkawal.

Perintah darurat yang berkuatkuasa bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos menyekat sebarang perjalanan pilihan raya dan persidangan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri. – 22 Mei, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen