Rosak jika bentuk gabungan lepas pilihan raya, kata Dr Mahathir


Salhan K. Ahmad Noel Achariam

Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan parti perlu dibentuk lebih awal untuk mengelak kejadian tidak diingini yang boleh meruntuhkan kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Mei, 2021.

SATU lagi kerajaan lemah akan terbentuk jika parti politik hanya mengusahakan kerjasama selepas menang pilihan raya, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya, gabungan parti perlu dibentuk lebih awal untuk mengelak kejadian tidak diingini yang boleh meruntuhkan kerajaan, katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight.

“Rosak. Sekarang ini ada lapan buah parti. (Itu parti) Melayu sahaja. Yang parti lain ada lagi banyak,” katanya.

Kesemua parti kecil ini tidak mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan dan akan mengemukakan pelbagai tuntutan bagi membentuk gabungan baharu, katanya.

“Jadi akan terdiri kerajaan yang amat lemah, yang takut (jika) mana-mana parti tarik diri, dia jatuh. Kerajaan macam ini tidak boleh mentadbir negara.

“Kita hendak kerajaan yang kukuh dan kuat,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana baru-baru ini.

Beliau mengulas rancangan yang disebut-sebut di kalangan pemimpin parti politik untuk merunding bagi membentuk gabungan bagi memimpin kerajaan baharu – selepas pilihan raya diadakan.

Rancangan itu diumumkan Umno sebagai jajaran baharu politik yang disebut presidennya Ahmad Zahid Hamidi sebagai usaha memulihkan kekuatan parti berkenaan.

Usaha tersebut bagi memulihkan semula Umno yang berdepan pelbagai peristiwa malang, bermula dengan kekalahannya dalam pilihan raya 2018.

Para pemimpin kanannya juga diheret ke mahkamah, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak yang disabitkan dengan tujuh tuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Selain itu, ahli Parlimen Pekan itu juga berdepan pelbagai tuduhan lain melibatkan penyelewengan 1Malaysia Development Bhd.

Jajaran politik itu diumumkan selepas Umno secara rasmi memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 dan untuk menarik diri dari kerajaan sebaik perintah darurat berakhir.

Zahid pada masa sama menegaskan Umno tidak akan bekerjasma dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim dan juga DAP dalam pilihan raya umum itu.

Pemimpin akar umbi bagaimanapun sangsi dengan ikrar tersebut.

Ini kerana orang kuat Umno seperti Nur Jazlan Mohamed mendedahkan parti itu terbuka untuk membentuk gabungan dengan mana-mana pihak termasuk seterunya PKR dan DAP selepas PRU15.

Di pihak DAP, setiausaha organisasinya Anthony Loke pula dilaporkan menyebut parti tersebut tidak akan menolak kerjasama seperti itu.

Bekas menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan itu percaya DAP perlu membantu mewujudkan kerajaan yang stabil jika tiada parti yang menang PRU15 dengan nyata.

Cakap-cakap mengenai rundingan belakang tabir di antara Zahid dengan rakan sejawat dalam PKR, Anwar menguatkan spekulasi bahawa rancangan seperti itu sudahpun mula digerakkan.

Turut dikaitkan, rakaman perbualan didakwa melibatkan kedua-duanya, didakwa menyentuh pendirian Umno dalam perhimpunan agung Mac dan kerjasama politik di masa akan datang.

Dr Mahathir juga tersingkir akibat rundingan politik serupa pada 2020, dan beliau memberi amaran rancangan untuk membentuk gabungan selepas PRU tidak akan melahirkan kerajaan yang kuat.

Beliau terpaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Februari tahun lalu apabila partinya waktu itu, Bersatu memutuskan untuk membentuk kerajaan baharu dengan PAS dan Umno.

Kerajaan Perikatan Nasional itu kini hanya mampu bertahan dengan perintah darurat dan tidak mampu menguruskan kerajaan dan pandemik Covid-19 dengan baik, katanya.

Oleh sebab itulah negara memerlukan kerajaan yang kuat dan stabil untuk mentadbir negara dan gabungan perlu dibentuk sebelum pilihan raya, kata pengasas parti Pejuang itu.

“Kerajaan yang semacam ini tidak boleh mentadbir negara. Kita hendak kerajaan yang kukuh dan kuat.

“Ini masalah. Saya dapati pilihan raya bukan membawa kepada kestabilan politik tetapi akan meneruskan kelemahan politik sekarang,” katanya.

Dr Mahathir juga percaya pilihan raya perlu ditangguhkan sehingga penggal Parlimen ke-14 berakhir pada 2023 memandangkan jangkitan Covid-19 masih lagi tinggi.

Tegasnya, pilihan raya itu perlu ditangguhkan walaupun perintah darurat sudahpun berakhir.

“Jika mereka adakan (PRU14), saya pasti apa yang berlaku selepas (pilihan raya negeri) Sabah akan berlaku lagi dengan lebih buruk, Kita tak berdisiplin kerana kita tidak boleh tangani (pandemik).

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada April lalu memberi jaminan sekali lagi untuk membubarkan Parlimen bagi mengadakan pilihan raya apabila jangkitan Covid-19 terkawal.

Perintah darurat yang berkuatkuasa bermula 11 Januari sehingga 1 Ogos menyekat sebarang perjalanan pilihan raya dan persidangan Parlimen serta Dewan Undangan Negeri. – 22 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen