Polis Israel serang jemaah solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa


Polis Israel merempuh kawasan Masjid Al-Aqsa selepas solat Jumaat hari ini ketika ribuan jemaah berhimpun untuk merayakan gencatan senjata awal hari ini. – Gambar AFP, 21 Mei, 2021.

POLIS Israel merempuh kawasan Masjid Al-Aqsa selepas solat Jumaat hari ini ketika ribuan jemaah berhimpun untuk merayakan gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan pemerintah Israel awal hari ini, lapor Al-Jazeera.

Gencatan senjata itu berkuat kuasa pukul 2 pagi waktu Baitulmaqdis bersamaan 7 pagi waktu di Kuala Lumpur.

Wartawan Al-Jazeera yang berada dekat lokasi kejadian berkata jemaah masjid sedang menyanyi dan melaungkan slogan apabila anggota polis Israel yang berkawal dekat kawasan Masjid Al-Aqsa menyuruh mereka bersurai.

“Mereka menggunakan segala langkah kawalan yang biasa mereka pakai selama ini, termasuk grenad kejut, bom asap dan gas pemedih mata,” katanya seperti dipetik portal berita antarabangsa itu.

Polis Israel juga dilapor melepaskan peluru getah untuk menyuraikan jemaah masjid, lapor Middle East Eye, sebuah lagi portal yang meliputi wilayah Asia Barat.

Rakaman video dan gambar yang tersebar di media sosial juga menunjukkan polis Israel menembak ke arah jemaah tidak lama selepas mereka mendirikan solat Jumaat.

Jurucakap polis Israel Micky Rosenfeld mendakwa anggotanya melepaskan tembakan untuk menyuraikan jemaah selepas mereka dibaling dengan batu.

Agensi berita Reuters melaporkan wartawannya menyaksikan polis Israel dilempar dengan batu dan molotov cocktail.

Sekurang-kurangnya 10 warga Palestin cedera setakat ini, lapor Middle East Eye.

Hamas dan Israel mencapai gencatan senjata hari ini selepas 11 hari rejim Yahudi membedil kawasan Palestin. Sekurang-kurangnya 232 rakyat Palestin terbunuh di Semenanjung Gaza, termasuk 65 kanak-kanak. – 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen