14 mayat ditemui ditanam sekitar rumah bekas polis El Salvador


Rumah penjenayah berdepan dengan ladang tebu, dikepung polis bagi mengelakkan wartawan memasuki kawasan berkenaan. – Gambar AFP, 21 Mei, 2021.

PAKAR forensik semalam mengeluarkan sekurang-kurangnya 14 mayat yang dibunuh dan ditanam di rumah seorang bekas pegawai polis di barat El Salvador barat.

Menteri Keadilan dan Keselamatan Gustavo Villatoro berkata mayat ditanam secara berasingan di kediaman Hugo Ernesto Osorio Chavez, yang juga ketua kumpulan penjenayah.

Bekas pegawai polis itu ditahan pada 8 Mei lalu kerana disyaki sebagai suspek utama kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya, selepas jiran melaporkan kepada pihak berkuasa.

Hasil siasatan itu membawa kepada penemuan mayat di rumahnya.

Villatoro berkata, sampel DNA turut diambil daripada penduduk sekitarnya yang melaporkan kehilangan keluarga terdekat dan berkemungkinan menjadi mangsa kes pembunuhan berkenaan.

Rumah penjenayah itu yang berdepan dengan ladang tebu, dikepung polis bagi mengelakkan wartawan memasuki kawasan berkenaan.

Pakar jenayah forensik Israel Ticas memberitahu proses menggali di sekitar kawasan rumah suspek akan diteruskan di bahagian lain rumah berkenaan dan menganggarkan tugas itu mungkin mengambil masa lebih sebulan.

Rabu lalu, hakim tempatan mengarahkan 11 individu ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan jenayah dilakukan Osorio Chavez.

Pada tahun lalu, 1,322 kes bunuh diri direkodkan di El Salvador iaitu secara purata, 20 kes bagi setiap 100,000 penduduk. – AFP, 21 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen