PANEL pakar kerajaan Jepun semalam meluluskan dua vaksin Covid-19 yang dibangunkan syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat (AS) Moderna Inc dan AstraZeneca Plc berpangkalan di Britain, dengan Kementerian Kesihatan menjangkakan kelulusan rasmi mengenainya dibuat hari ini.
Menurut Agensi Berita Xinhua, andai kelulusan rasmi diberikan kelak, berdasarkan penilaian panel pakar melalui ujian klinikal di Jepun dan di luar negara, menjadikan tiga jenis vaksin telah diluluskan di negara ini.
Sebelum ini, hanya vaksin yang dihasilkan syarikat gergasi farmaseutikal AS, Pfizer digunakan di Jepun.
Program vaksinasi Jepun menerima kritikan hebat berikutan negara itu ketinggalan jauh berbanding negara maju lain.
Kempen vaksinasi di Jepun paling perlahan berbanding negara OECD sehingga mencetuskan gelombang jangkitan keempat, memetik sumber.
Perdana Menteri Yoshihide Suga berikrar untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin sehingga satu juta suntikan sehari dan memastian semua warga emas divaksin menjelang akhir Julai.
Jepun mempunyai kira-kira 36 juta warga emas dan pemberian vaksin terhadap golongan ini dimulakan pada pertengahan April.
Kekurangan petugas kesihatan untuk menguruskan pemberian vaksin mungkin akan menyukarkan usaha kerajaan memastikan semua warga emas disuntik sebelum penghujung April.
Ketua Setiausaha Kabinet Katsunobu Kato pada satu sidang media berkata Sekretariat Kabinet akan membentuk satu pasukan bagi mencari kaedah untuk menyediakan perakuan dan kebenaran bagi mereka yang menerima suntikan vaksin melakukan perjalanan ke luar negara. – Bernama, 21 Mei, 2021.
Komen