SEORANG pemandu kereta api berkelajuan tinggi di Jepun terpaksa menyerahkan kawalan pemanduan kepada konduktor tidak berkelayakan bagi membolehkan beliau ke tandas, dedah operator perkhidmatan pengangkutan itu.
Tindakan beliau itu mungkin tiada siapa yang akan menyedari, tetapi kelewatan kereta api selama satu minit menyebabkan siasatan dibuat, di negara yang terkenal dengan ketepatan masa.
Pemandu itu kemudian mengaku meninggalkan tugasnya selepas mengalami sakit perut, dan membiarkan kawalan kereta api dengan l60 penumpang kepada seorang konduktor.
Beliau ke tandas selama tiga minit ketika kereta api berjalan dengan kelajuan 150km sejam.
Kereta api laju dikawal dengan ketat oleh sistem arahan pusat berkomputer, tetapi pemandu tetap diperlukan bagi menangani situasi luar jangka, kata jurucakap kepada AFP.
Mereka juga perlu melakukan brek secara manual atau menaikkan kelajuan diperlukan untuk memastikan keselamatan dan kereta api mengikut jadual.
Ketiadaan pemandu dalam tempoh singkat itu mengakibatkan kelewatan selama seminit yang menyebabkan punca kejadian bocor.
Pemandu yang mengalami situasi kecemasan semasa mengendalikan kereta api seharusnya berkoordinasi dengan pusat arahan untuk menyerahkan kawalan kepada konduktor yang berkelayakan, atau berhenti di trek atau di stesen terdekat.
Dalam sidang akhbar pada Khamis, eksekutif syarikat meminta maaf atas kejadian itu dan berkata pemandu terbabit akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Pemandu itu menjelaskan beliau “tidak mahu menyebabkan kelewatan dengan menghentikan kereta api”.
“Saya tidak melaporkannya kerana ia memalukan,” tambahnya. – AFP, 21 Mei, 2021
Komen