Peniaga kecil, penjaja gesa PKP sepenuhnya dilaksana segera


Khoo Gek San

Peniaga kecil dan penjaja meminta Putrajaya mengadakan PKP menyeluruh bagi mengekang penyebaran Covid-19 apabila wabak itu terus meningkat di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2021.

PENIAGA kecil dan penjaja meminta Putrajaya mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh bagi mengekang penyebaran Covid-19 apabila wabak itu terus meningkat di seluruh negara.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa tidak ada keperluan mereka terus menjalankan perniagaan ketika orang ramai takut untuk keluar dan menyokong perniagaan mereka.

Mereka berkata walaupun kerajaan melaksanakan PKP 3.0 dari 12 Mei sehingga 7 Jun, jumlah jangkitan Covid-19 meningkat apabila kebanyakan aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi.

Presiden Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata, mereka berharap kerajaan dapat melaksakanan PKP lebih ketat seperti yang dilakukan pada Mac tahun lalu apabila hampir seluruh kawasan ditutup kecuali perkhidmatan penting.

Antara perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi adalah bekalan makanan, kemudahan awam, penjagaan kesihatan, farmasi, perkhidmatan penghantaran dan kurier, pengangkutan awam serta bidang industeri pembuatan tertentu. 

“PKP menyeluruh penting ketika ini terutama dengan penemuan varian baru di negara ini.

“Kami menyokong PKP selama sebulan atau dua bulan. Pandemik semakin memburuk dengan varian baharu muncul.

“Walaupun kerajaan membenarkan penjaja dan peniaga kecil untuk terus beroperasi, mereka masih akan terjejas kerana orang tidak berani keluar serta menyokong perniagaan ini.

“Langkah-langkah semasa oleh kerajaan mendatangkan kekeliruan terhadap penjaja dan peniaga kecil,” katanya.

Ridzuan berkata jika kerajaan melaksanakan PKP menyeluruh, penjaja dan peniaga kecil dapat menghentikan operasi mereka secara teratur.

Walaupun selepas dua PKP – yang kedua dilaksanakan pada Januari tahun ini – beliau berkata keadaan Covid-19 di Malaysia tidak bertambah baik dan perniagaan belum pulih.

Beliau berkata ramai penjaja dan peniaga kecil membuat aduan mengenai masalah kewangan, ada yang terpaksa meminjam wang dan kini berhutang kerana tidak dapat melakukan pembayaran.

“Penjaja menerima bantuan sekali RM3,000 daripada kerajaan tetapi wang ini tidak mencukupi untuk menampung hutang untuk satu atau dua tahun. Bagaimana saya mahu membayar semula pinjaman kereta dan gadai janji saya?

“Semasa Hari Raya, saya menasihati peniaga kecil untuk tidak membeli terlalu banyak barang kerana kerajaan mungkin mengenakan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat susulan peningkatan kes.

“Mereka marah dan bimbang tidak ada yang keluar membeli pakaian baharu untuk perayaan tersebut,” katanya. – 21 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen