SELEPAS berdepan kerugian sehingga 50% sejak dibuka semula Isnin lepas, peniaga di pasar borong Selayang di Kuala Lumpur mahu mereka yang terlibat dengan pasar tersebut segera mendapatkan vaksin atau berisiko ditutup semula.
Persatuan memberi amaran keadaan tidak akan menjadi lebih baik dalam masa terdekat kerana jumlah Covid-19 terus meningkat dan menggesa peniaga, pekerja dan kakitangan pasar tidak mengelak daripada divaksin.
Mereka juga mendesak kerajaan mempercepatkan program vaksinasi atau pasar akan berdepan penutupan kali keempat sejak bermulanya wabak.
Pasar borong Selayang adalah yang terbesar di Lembah Klang dan merupakan pembekal utama makanan laut, sayur-sayuran serta buah-buahan ke pasar yang lebih kecil, pasar raya dan restoran lain yang lebih kecil.
Presiden Persatuan Pemborong Ikan KL Hoi Seong Sing Kian Hock memberitahu The Malaysian Insight bahawa sejak wabak itu, seramai 168 peniaga makanan laut terpaksa menutup kedai.
“Selepas kerja pembersihan dibuat di kawasan pasar, hanya sekitar 100 peniaga yang kembali membuka gerai. Ini kerana kita kekurangan pekerja apabila ada di antara mereka masih menjalani kuarantin sehingga mereka tidak dapat membuka gerai.
“Oleh kerana wabak ini, kita mengalami kerugian sehingga 50% dari segi penjualan dan pelanggan. Satu-satunya harapan kami adalah untuk mendapatkan vaksin.
“Kami mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Kesihatan minggu lalu dan diberitahu bahawa mereka akan berusaha serta membantu mempercepatkan proses vaksinasi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata pegawai Kementerian Kesihatan berjanji menjalankan proses vaksinasi pekerja di pasar tetapi belum ada tarikh yang ditetapkan.
“Terdapat lebih 4,000 orang di seluruh pasar borong. Kami akan menyerahkan senarai itu dan pegawai merancangnya,” katanya.

Katanya, rancangan akan dibuat agar semua orang yang diuji negatif tersebut akan diberi vaksin secepat mungkin.
Sing menambah bahawa mulai 24 Mei, pasar borong hanya akan membenarkan pemilik gerai dan pemborong yang diuji negatif memasuki pasar selepas 15 Mei.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup pasar selama lapan hari pada 9 Mei selepas lebih 400 peniaga dan pekerja mereka diuji positif Covid-19.
Pemeriksaan lebih lanjut sehingga 3 Mei menunjukkan kira-kira lapan sehingga 10 jangkitan baharu setiap hari.
Ini adalah kali ketiga pasar ditutup selepas wabak melanda pada Januari 2021 dan April 2020.
Walaupun wabak semasa berlaku dalam kalangan penjual ikan, ia juga merebak ke beberapa penjual sayur dan buah.

Pasar ini mempunyai 448 gerai melibatkan lebih daripada 4,000 peniaga dan pekerja.
Daripada jumlah itu, 168 adalah peniaga makanan laut, 216 gerai menjual sayur-sayuran sementara selebihnya 64 adalah gerai buah.
Sing berkata untuk mengelak wabak merebak, mereka terpaksa membersihkan pasar setiap hari.
Beliau juga berkata susulan penyebaran virus yang cepat di kawasan pasar, peniaga akan melakukan ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) pada 23 Mei.
“Saringan kali kedua adalah untuk keselamatan semua orang. Sebilangan daripada mereka mungkin berada dalam jangka masa inkubasi, jadi saringan kali kedua akan lebih tepat,” katanya.
Penjual sayur juga sudah melakukan pemeriksaan rt-PCR minggu lalu dan jumlah kes yang disahkan meningkat dari 43 kepada 59.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pemborong Sayuran Kuala Lumpur Wong Keng Fatt berkata penjual sudah menurunkan harga dari 20% sehingga 30%.
Katanya ia susulan penurunan kira-kira 20% jumlah pelanggan yang datang ke pasar.
Wong berkata, pelanggan bukan sahaja bimbang dengan wabak itu tetapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga memberi kesan kepada perniagaan mereka.
“Sepanjang tempoh ini, banyak pasar malam tidak dapat dibuka dan restoran hanya dapat menyediakan layanan bawa pulang sehingga menyebabkan perniagaan terjejas,” katanya.
Mengenai kekurangan pekerja dia berkata mereka takut untuk mula bekerja susulan banyak kes dikesan di pasar.
“Pekerja takut untuk kembali bekerja. Kami juga sukar untuk mendapatkan pekerja kerana hanya dibenarkan untuk mengambil pekerja tempatan,” katanya. – 22 Mei, 2021.
Komen