Biden lihat 'peluang sahih' kedamaian selepas gencatan senjata di Gaza


Presiden AS Joe Biden berjanji memberi bantuan kemanusiaan yang akan disalurkan melalui Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat. – Gambar EPA, 21 Mei, 2021.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden semalam menyambut baik gencatan senjata yang diumumkan oleh Israel dan Hamas sebagai “peluang sahih” bagi perdamaian selepas 11 hari pengeboman dan serangan roket.

“Saya percaya kita memiliki peluang sahih untuk membuat kemajuan dan saya komited ke arah itu,” kata Biden di White House sambil menyentuh peranan Mesir yang membawa kepada gencatan senjata.

Beliau berkata sudah bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi semalam.

Biden, yang mendapat kritikan daripada banyak pihak dalam parti Demokrat sendiri kerana tidak mendesak sekutu AS Israel secara terbuka bagi gencatan senjata, dengan alasan pentabdirannya memilih “diplomasi senyap dan berterusan.”

Mengulangi pendirian White House sepanjang 11 hari konflik, Biden berkata tujuan AS, yang melibatkan “usaha luar biasa,” adalah memastikan konflik tidak berlangsung dalam tempoh yang panjang seperti tahun-tahun sebelumnya.

Beliau juga menjanjikan bantuan kemanusiaan, sambil menegaskan ia akan disalurkan melalui Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat, bukan Hamas agar organisasi itu tidak dapat menambah kembali aset tenteranya.

Dalam desakan beberapa anggota Kongres Demokrat agar menghentikan penjualan senjata AS kepada Israel, Biden berkata sudah menyakinkan Netanyahu terhadap sokongan membekalkan sistem antipeluru berpandu Iron Dome yang digunakan untuk menembak jatuh roket Hamas.

Biden juga mengucapkan terima kasih kepada Abdel Fattah.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden Abdel Fattah dan pegawai kanan Mesir yang memainkan peranan penting dalam diplomasi ini,” kata Biden. – AFP, 21 Mei, 2021


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen