.jpg)
ISU Palestin adalah isu kemanusiaan yang melibatkan digniti, nyawa, kehidupan dan kelangsungan insan; serta isu yang membabitkan soal integriti wilayah, kedaulatan negara, keselamatan sejagat dan tatacara antarabangsa.
Mutiah Alagappa menegaskan dalam bukunya, Asian Security Order (2003), tatacara antarabangsa adalah peraturan rasmi dan tidak rasmi yang melestarikan hubungan antara negara berdaulat dalam usaha mereka mencapai matlamat negara dan mencapai matlamat bersama.
Tatacara ini tidak menggunakan kekerasan atau peperangan. Namun ia memangkin kewujudan suasana yang stabil dan nyata bagi membolehkan semua negara untuk saling wujud dan bekerjasama dalam mencapai matlamat nasional, serantau dan sejagat, di mana perbezaan dan persengketaan dapat ditangani secara aman, dan perubahan dapat diwujudkan tanpa keganasan.
Malaysia dan lain-lain komuniti antarabangsa telah menggunakan prinsip tatacara antarabangsa ini untuk memansuhkan apartheid di Afrika Selatan, menamatkan genosid dan penghapusan etnik di Bosnia-Herzegovina dan untuk menyelesaikan masalah yang sama di Rwanda.
Palestin dengan penduduk 4,816,503, termasuk kaum Yahudi Palestin yang disifatkan sebagai wargenegara Israel, adalah negara berdaulat di Timur Tengah yang diiktiraf oleh 136 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mempunyai status pemerhati dalam badan dunia ini.
Palestin juga adalah negara pelbagai agama dengan 93 peratus umat Islam dan 0.6 peratus penganut Kristian serta lain-lain fahaman, termasuk Judaisme and Druze.
Dengan ini, isu Palestin bukannya mengenai isu pertembungan tamadun, isu konflik antara bangsa dan agama atau mengenai pendirian “anti-semitism” terhadap kaum Yahudi.
Isu Palestin adalah isu mengenai regim zionis Israel yang melanggar undangundang antarabangsa serta mencanggahi norma (norms) dan nilai (values) kemanusiaan di Palestin.
Isu ini, yang dicirikan oleh pembunuhan, keganasan, kezaliman dan genosid, akibat perjuangan umat Palestin menentang pencerobohan Israel ke atas tanah tumpah darah mereka sejak tahun 1946, adalah isu yang memerlukan penyelesaian segera, berkesan dan kekal, melangkaui batas bangsa, agama dan politik.
Keprihatinan Malaysia terhadap isu ini adalah bukti iltizamnya untuk menamatkan segala angkara di atas, untuk memulihkan hak umat Palestin di bumi tumpah darahnya, untuk melestarikan keamanan dunia, serta untuk memelihara tatacara antarabangsa berasaskan prinsip hak asasi manusia sejagat.
Pendirian Malaysia ini juga berpandukan prinsip hubungan antarabangsa dan dasar luarnya yang wujud sejak era kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra; yang juga selari dengan asas-asas keberkecualian (neutrality) yang diamalkan oleh Pertubuhan Berkecuali (Non-Aligned Movement atau NAM), Organisasi Kerjasama Negara-Negara Islam (OIC) dan PBB.
Dalam konteks kezaliman dan keganasan semasa di Palestin mutakhir ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengulangi pendirian tegas Malaysia mengenai “two-state solution” atau penyelesaian berasaskan pendekatan “dua negara” yang juga diperjuangkan oleh pelbagai anggota PBB.
Namun begitu, iltizam antarabangsa untuk menamatkan isu Palestin sentiasa dihalang dan dirintangi oleh perilaku dasar luar beberapa kuasa besar selaku anggota tetap dalam Majlis Keselamatan PBB yang menggunakan kuasa vetonya untuk melindungi kepentingan zionis Israel.
John J. Mearsheimer dan Stephen M. Walt mendedahkan dalam buku mereka, The Israel Lobby and US Foreign Policy (2008), mengenai wujudnya “lobi Israel” di Amerika Syarikat (AS). Lobi Israel di AS ini adalah satu pakatan longgar oleh sogolongan individu dan pertubuhan yang bergerak aktif untuk mencorakkan dasar luar AS ke arah yang proIsrael.
Matlamat Lobi Israel yang didukung oleh puak Yahudi dan bukan-Yahudi ini adalah untuk menekankan soal kepentingan Israel dan untuk mempengaruhi dasar luar AS supaya membawa manfaat kepada negara Yahudi Israel.
Tetapi, walaupun kegiatan Lobi Israel ini adalah sah di sisi penyertaan politik secara demokratik di AS, kuasa politiknya mempunyai pengaruh yang besar ke atas dasar luar AS di Timur Tengah.
Oleh sebab itu, tindakan AS di wilayah bergolak ini telah menimbulkan kesan kepada umat manusia di seluruh dunia, khususnya kepada umat Palestin di Timur Tengah.
Ini sebabnya isu Palestin sukar diselesaikan, bahkan berlarutan, selagi PBB dimanipulasikan oleh percaturan politik oleh sesetengah kuasa besar dunia yang melindungi perilaku regim zionis Israel di Palestin.
Lantas komuniti antarabangsa, termasuk di Malaysia, mesti terus mendesak PBB supaya bertindak tegas dalam usahanya untuk menyelesaikan masalah umat Palestin.
Mereka juga perlu merayu kepada sesetengah kuasa besar terbabit supaya menamatkan seluruh kepura-puraan mereka dalam usahanya melestarikan keamanan sejagat dan menegakkan tatacara antarabangsa di Palestin.
Komuniiti antarabangsa, termasuk di Malaysia, perlu juga mendesak PBB dan kuasa-kuasa besar dunia supaya mengiktiraf bahawa keprihatinan mereka terhadap isu Palestin bukannya dilandasi sentimen agama, bukannya membenci kuasa-kuasa besar, dan tidak didorong oleh dasar luar yang ekstrem dan anti-Israel, anti-semitik atau anti-Yahdi Lantaran itu, PBB juga mesti didesak untuk memastikan Malaysia serta lain-lain negara dunia yang memperjuangkan isu Palestin tidak dizalimi dengan sabotaj politik (political subversion), tidak dizalimi dengan perang ekonomi atau sekatan dagangan (economic war or trade sanctions) dan tidak pula diugut dengan kemungkinan peperangan pre-emptif atau serangan ketenteraan.
Berdasarkan penghujahan di atas, antara langkah penting yang wajar dilaksanakan oleh rakyat Malaysia, adalah untuk mewujudkan organisasi rakyat tanpa mengira kaum, agama dan politik, bagi menyuarakan keprihatinan mereka secara serentak dan dengan satu suara yang jitu dan berwibawa. – 20 Mei, 2021.
* Dr Ruhanie Ahmad bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Johor.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen