Pengkritik Kremlin kembali normal setelah mogok lapar


Seorang pekerja melukis grafiti pengkritik Kremlin yang dipenjara Alexei Navalny di Saint Petersburg. – Gambar AFP, 20 Mei, 2021.

PENGKRITIK Kremlin yang dipenjara Alexei Navalny telah pulih setelah mengakhiri mogok lapar selama 24 hari bulan lalu menuntut rawatan perubatan mencukupi, kata ketua perkhidmatan penjara Rusia pada Khamis.

Navalny, pengkritik Presiden Vladimir Putin yang terkenal, menjalani hukuman selama dua setengah tahun di sebuah penjara di luar Moscow atas tuduhan penipuan yang menurutnya bermotifkan politik.

Tokoh pembangkang berusia 44 tahun itu melakukan mogok lapar pada akhir bulan Mac menuntut rawatan sewajarnya di penjara kerana sakit belakang yang teruk dan kehilangan rasa di anggota badannya. 

Beliau mengakhiri protes itu pada 23 April setelah mendapat rawatan di hospital awam.

Penampilan terakhirnya di depan umum adalah melalui pautan video di mahkamah semasa perbicaraan rayuan pada akhir April, di mana beliau kelihatan kurus selain berkata beliau sudah mula makan beberapa sudu bubur sehari.

Pada Khamis, agensi berita TASS memetik ketua Perkhidmatan Penjara Persekutuan Rusia, Alexander Kalashnikov, yang berkata Navalny “telah pulih, lebih kurang.”

“Beratnya sudah mencapai 82 kilogram, saya rasa,” kata Kalashnikov kepada wartawan.

Ketua penjara, yang telah disekat oleh Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah atas tindakan terhadap Navalny, menambah pengkritik Kremlin itu “makan secara normal”.

Pengarah Yayasan Pencegahan Rasuah (FBK), Ivan Zhdanov, mengesahkan kesihatan Nvalny bertambah baik. – AFP, 20 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen