Pengarang anime terkenal 'Berserk' meninggal dunia


Dipuji kerana ilustrasinya yang rumit, ia disebut sebagai inspirasi oleh banyak pengarang dan pencipta komik serta permainan video di seluruh dunia. – Gambar Facebook trashcult, 20 Mei, 2021.

KENTARO Miura pengarang manga Jepun terkenal dengan siri fantasi gelap ‘Berserk’ meninggal pada usia 54 tahun, kata penerbitnya pada Khamis, sekali gus mengundang kesedihan dari peminat di seluruh dunia.

Berserk, ciptaannya yang terkenal membuat debut pada 1989, memaparkan perjalanan balas dendam oleh seorang pejuang muda dalam alam yang diilhami abad pertengahan.

Dipuji kerana ilustrasinya yang rumit, ia disebut sebagai inspirasi oleh banyak pengarang dan pencipta komik serta permainan video di seluruh dunia.

Miura meninggal pada 6 Mei, kata penerbit Berserk, Hakusensha dalam satu kenyataan.

“Semua editor kami dengan tulus mendoakan pemergiannya, menyatakan rasa hormat dan penghargaan kami yang mendalam atas karyanya,” kata firma Jepun itu, menambah keluarga Miura telah mengadakan pengebumian peribadi.

Berita kematiannya disambut dengan terkejut oleh peminat.

“Saya tak dapat hendak luahkan betapa hancurnya hati saya mengenai pemergian Kentaro Miura,” luah Kelly Link, wartawan permainan video di Twitter.

“Berserk adalah sebuah epik luar biasa yang akan hidup selama beberapa generasi mendatang sebagai salah satu kisah terhebat yang pernah diceritakan dan hanya dapat dipadankan dengan seni yang benar-benar menakjubkan.”

Pengarah seni Kanada Pascal Blanche memuji Miura dalam Twitter sebagai “pengarang salah satu manga terbaik yang pernah ada”.

Kini terdapat 40 jilid Beserk, dengan lebih daripada 50 juta cetakan diedarkan di belasan negara termasuk Amerika Syarikat. Paling baharu diterbitkan di Jepun pada 2018.

Siri itu juga diadaptasi menjadi animasi, buku, filem dan juga permainan video.

“Miura-sensei (guru Miura) adalah artis utama dan pencerita, kami ada hak istimewa untuk terbitkan beberapa karya terbaiknya, termasuk karya agungnya, Berserk,” tulis penerbit Amerika, Dark Horse Comics melalui Twitter.

“Mendiang akan sangat dirindui.” – AFP, 20 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen