SALJI tebal menyebabkan 13,000 pelancong terperangkap di Zermatt, salah satu stesen ski paling popular di Switzerland, kata pusat peranginan Alpine pada Selasa.
Ia turut menyebabkan semua jalan dan laluan kereta api untuk ke pusat peranginan di selatan Switzerland, Valais tersekat yang turut menyebabkan bekalan elektrik terputus, kata ketua stesen Janine Imesch kepada AFP.
“Ketika ini terdapat sekitar 13,000 pelancong di Zermatt,” katanya, manakala laman web stesen kereta api berkenaan turut memberi amaran bahawa tiada pelepasan dan ketibaan buat sementara waktu.”
Jalan utama telah ditutup sejak Isnin, manakala perkhidmatan kereta api ditangguhkan sejak petang Isnin, katanya.
Zermatt menjadi kediaman kepada 5,500 penduduk dan mampu menempatkan 13,400 pelancong menerusi hotel dan apartmen sewa yang ada di seluruh kawasan itu.
Namun pelancong yang terkandas tidak dapat menjalankan aktiviti sukan salji buat masa ini berikutan risiko salji runtuh yang tinggi di kawasan itu.
“Adalah mustahil untuk melakukan aktiviti ski merentas desa atau menuruni bukit, tapi tidak mengapa. Ia agak romantik,” kata Imesch dan menambah ia tidak mencetuskan suasana panik.
Penerbangan peninjau dirancang ke kawasan terlibat bagi membantu memantau dan menentukan sama ada larangan aktiviti itu perlu diteruskan atau sebaliknya.
Beberapa penduduk di Valais juga turut terjejas akibat salji tebal setinggi dua meter dalam tempoh 24 jam.
Di bahagian altitud rendah kawasan pergunungan itu, beberapa jalan utama terpaksa ditutup berikutan tanah runtuh dan banjir lumpur yang berlaku akibat salji yang cair.
Menurut polis di kawasan berkenaan, risiko untuk berlaku kejadian itu sangat tinggi buat masa ini. – AFP, 9 Januari, 2018.
Komen