Boeing sambung penghantaran MAX 737 selepas masalah elektrik


Masalah elektrik adalah isu baharu selepas MAX 737 dibenarkan kembali beroperasi pada November 2020 selepas digantung 20 bulan susulan dua kemalangan maut. – Gambar EPA, 20 Mei, 2021.

BOEING mengesahkan ia menyambung semula penghantaran MAX 737 semalam selepas mendapat kelulusan pengawal selia untuk memperbaiki masalah elektrik yang menyebabkan penggantungan lebih 100 pesawat.

Penghantaran itu menghidupkan semula aliran pendapatan utama bagi Boeing selepas syarikat penerbangan gergasi itu mengumumkan pada 13 Mei ia menghantar buletin perkhidmatan kepada syarikat penerbangan selepas Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) meluluskan langkah membaiki masalah elektriknya.

American Airlines dan United Airlines meneruskan penerbangan dengan jet MAX yang terjejas oleh masalah itu, kata jurucakap syarikat penerbangan itu.

Jurucakap Southwest Airlines berkata syarikat penerbangan itu masih melaksanakan perubahan berdasarkan buletin perkhidmatan Boeing dan belum mengembalikan 32 pesawatnya yang terjejas.

Boeing mengumumkan secara terbuka pada 9 April yang pihaknya sudah memaklumkan 16 syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat 737 Max mengenai masalah elektrik, yang menyebabkan penggantungan serta merta jet dan penangguhan penghantaran pesawat baharu.

Masalah elektrik adalah isu baharu selepas MAX dibenarkan kembali beroperasi pada November 2020 selepas digantung 20 bulan susulan dua kemalangan maut.

Boeing juga baru-baru ini meneruskan penghantaran 787 Dreamliner berikutan penangguhan pada musim luruh yang lalu bagi mengatasi masalah pengeluaran.

Dua anggota kanan parti Demokrat awal minggu ini mengumumkan mereka meminta rekod daripada FAA dan Boeing mengenai masalah MAX dan 787.

Ahli Parlimen, ketua jawatankuasa pengangkutan, Peter DeFazio dan ketua jawatankuasa kecil penerbangan Rick Larsen, memetik laporan mereka dari 2020 mengenai MAX, yang menunjukkan terdapat masalah besar pada Boeing dan pengawasan FAA terhadap syarikat itu. – AFP, 20 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen