RIBUAN penduduk dipindahkan pada Rabu dari kawasan kejiranan ibu negara kewangan Jerman, Frankfurt susulan penemuan bom Perang Dunia II.
Pihak berkuasa bandar berkata 25,000 orang dipindahkan dari kawasan Nordend yang padat penduduk selepas bom 500kg ditemui semasa kerja pembinaan.
Pasukan pelupusan bom akan meletupkan bom berkenaan selepas menutupnya dengan tanah, kata pihak berkuasa.
Penduduk berlindung di gelanggang luncur ais berkata bimbang dengan penemuan terbaru bom Perang Dunia II, yang masih berlaku selepas 76 tahun perang berakhir.
Tobias, 29, berkata beliau mendengar berita itu melalui pembesar suara polis.
Bersama kucing peliharaannya di dalam sangkar, beliau mengaku berasa “sedikit tekanan” ketika diperintahkan untuk segera meninggalkan rumahnya.
Barbara, 77, berkata beliau mendengarnya di radio.
“Ia agak mengejutkan, kami tidak menjangkakannya,” katanya kepada AFP, sambil menambah ingin pulang secepat mungkin.
Jerman sering menemui sisa daripada Perang Dunia II termasuk bom yang tidak meletup ketika melakukan kerja pembinaan.
Tujuh bom diletupkan pada 2020 di tanah berhampiran Berlin di mana Tesla merancang untuk membina kilang pertamanya di Eropah bagi kereta elektrik.
Bom lain juga ditemui tahun lalu di Frankfurt, Cologne, dan Dortmund.
Pada 2017, penemuan bom di Frankfurt seberat 1,4 tan menyebabkan pemindahan 65,000 orang, yang terbesar di Eropah sejak 1945. – AFP, 20 Mei, 2021.
Komen