PKR tak bimbang ahli parti tolak Dr Mahathir jadi PM


Nabihah Hamid

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli meminta anggota parti untuk bersatu demi memastikan kemenangan Pakatan dalam pilihan raya umum ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2018.

NAIB Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, bantahan dari kalangan pemimpin parti itu ke atas pencalonan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri bukanlah satu perkara yang perlu dibimbangkan.

Katanya, PKR meraikan bantahan tersebut dalam semangat kebebasan bersuara dan kini tiba masa untuk memfokuskan kepada pilihan raya.

Ahli parti perlu bersatu demi memastikan kemenangan Pakatan dalam pilihan raya umum ke-14 kelak, kata ahli Parlimen Pandan itu lagi.

“Itu pendapat dan hak masing-masing. Ada ketika dan cara dia menyampaikan pendapat. Dalam tempoh beberapa hari kalau ada nyatakan perbezaan pendapat, tiada masalah. Kita bukan macam BN tidak boleh suara pendapat.

“Mereka (yang berbeza pendapat) faham keputusan telah dibuat dan kita perlu rapatkan saf (bersatu). Kalau ada yang melahirkan rasa kurang bersetuju itu hak mereka. 

“Tapi saya tak rasa bahawa perkara itu perkara besar boleh menjejaskan persediaan pilihan raya kita. Saya rasa kita patut fokus PRU dan tinggalkan hal ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Dalam nada serupa, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad juga mengajak anggota parti itu untuk maju dan tidak terus dibuai perasaan 

“Marilah kita bergerak ke hadapan. Masing-masing  pulang ke kawasan masing-masing bagi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan di kawasan mereka. 

“Berbekalkan agenda yang digariskan dalam Muafakat Pakatan Harapan, kita sudah ada kerangka dasar untuk membersihkan negara dan mengangkat martabat rakyat,” kata Nik Nazmi dalam kenyataan bersama dikeluarkan Majlis Pimpinan Pemuda Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda Pakatan Harapan Nik Nazmi Nik Ahmad turut senada dengan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dan turut mengingatkan anggota parti agar tidak terus dibuai perasaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Januari, 2018.

Kenyataan itu memateri sokongan mereka untuk menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri membuktikan kesungguhan Pakatan Harapan untuk menggantikan pentadbiran Najib Razak.

Kenyataan itu ditandatangani  Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Rahman serta Ketua Pemuda Sosialis DAP Wong Kah Woh.

Pendirian itu muncul susulan kenyataan PKR Selangor yang kecewa dengan pengumuman Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Dalam kenyataan itu, ketua penerangan PKR Selangor, Hizwan Ahmad antara lain membangkitkan mengenai pengorbanan penyokong gerakan Reformasi yang memerah “keringat, darah dan air mata”.

Maka pemimpin parti sepatutnya mengutamakan ketua umum mereka Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, kata Hizwan.

Bantahan ke atas pencalonan Dr Mahathir itu turut disuarakan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang berpendapat Pengerusi Bersatu itu lebih layak menjadi menteri kanan dan bukannya perdana menteri.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata dengan pengalaman luas sebagai perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini Dr Mahathir tidak seharusnya menjawat jawatan itu semula. – 9 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • "Kenyataan itu ditandatangani  Ketua Pemuda Amanah Mohd Sany Hamzan, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Rahman serta Ketua Pemuda Sosialis DAP Wong Kah Woh."

    Pemuda amanah mana? Tak kan semua org tua2 dalam amanah..mana pelapisnya..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Ujang Mohd · Ulasan