CHINA kekal sebagai destinasi tarikan modal asing susulan tahap keterbukaan yang makin tinggi, suasana perniagaan mesra pelabur serta kekukuhan momentum prestasi ekonomi.
Demikian kata Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC) China Ning Jizhe semasa menghadiri sesi dialog bersama pengusaha syarikat transnasional, di Beijing, pada Selasa.
Menurut beliau, walaupun landskap pelaburan langsung asing (FDI) rentas sempadan dibadai penularan pandemik Covid-19 pada 2020, namun China tetap merekodkan lonjakan ketara kemasukan FDI dari segi kuantiti, kadar pertumbuhan dan nisbah global.
Ia turut meletakkan China sebagai negara yang menarik aliran masuk modal asing terbanyak di dunia.
“Jumlah penggunaan sebenar modal asing oleh China dicatatkan sebanyak 302.47 bilion yuan (RM194.2 bilion) pada suku pertama, iaitu menyaksikan peningkatan 39.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” kata Ning memetik data rasmi.
Tambah beliau, China juga terus kekal selaku destinasi pilihan pelabur global berikutan daya tarikannya yang makin menonjol.
Difahamkan, sesi dialog anjuran NDRC dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) itu bertujuan memberikan penerangan lanjut kepada syarikat transnasional mengenai polisi China membabitkan modal asing, suasana perniagaan, rantai bekalan global serta situasi ekonomi makro.
Dalam pada itu, wakil syarikat berkenaan turut menyuarakan keyakinan penuh kepada potensi pasaran China serta berhasrat untuk terus meningkatkan lagi pelaburan.
Selain itu, mereka juga berharap dapat terlibat dalam usaha China menggerakkan paradigma pembangunan baharu menerusi kehadiran dalam pembangunan berkualiti industri berkenaan. – Bernama, 19 Mei, 2021.
Komen