KETUA Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid menggesa orang ramai agar tidak terpedaya sehingga berkongsi gambar bogel dan lucah dengan orang lain di media sosial.
Beliau membuat gesaan itu selepas pihaknya menerima laporan daripada 21 mangsa pemerasan gambar bogel dan lucah, kebanyakannya pelajar institusi pengajian tinggi, sejak Januari lalu.
“Daripada 21 kes itu, dua suspek sudah dituduh di mahkamah manakala 19 kes lagi masih dalam siasatan.
“12 mangsa juga telah membuat pembayaran kepada suspek sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM33,788.88,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semua mangsa berumur antara 20 hingga 30 diugut akan disebarkan gambar bogel serta video lucah mereka, tambahnya.
Menurut Fakhruddin, kebanyakan mangsa diperdaya oleh orang yang mereka kenali seperti bekas suami atau teman lelaki.
“Modus operandi sindiket memperdayakan mangsa tidak kira lelaki atau wanita untuk berkongsi gambar bogel atau video lucah di laman media sosial dan aplikasi termasuk WeChat, Facebook, WhatsApp, Michat dan banyak lagi.
“Suspek kemudian akan merekodkan gambar dan video berkenaan sebelum memeras ugut mangsa dengan meminta wang sekiranya tidak mahu ia disebarkan di media sosial atau kepada ahli keluarga mahupun rakan mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, Fakhrudin menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tipu muslihat dengan pelbagai cara dibuat suspek melalui aplikasi-aplikasi berkenaan.
“Masyarakat perlu bijak menggunakan media sosial dan diingatkan sebarang aksi langsung di media sosial akan mudah dirakam oleh pihak kedua,” katanya. – 19 Mei, 2021.
Komen