SELANGOR akan melancarkan program vaksinasinya sendiri tidak lama lagi untuk mengelakkan sektor ekonomi di negeri itu runtuh, kata Dr Siti Mariah Mahmud.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Negeri berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan fakta yang industri dan kilang akan menjadi kumpulan terakhir menerima vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
“Selangor bergantung kepada industri dan kilang untuk menyumbang hampir 20% kepada KDNK Malaysia.
“Kita tidak boleh membiarkan barisan hadapan ekonomi runtuh. Oleh itu, kita tidak boleh menunggu kempen vaksinasi kerajaan persekutuan kerana industri dan kilang akan menjadi yang terakhir mendapat vaksin. Ini boleh menyebabkan banyak kilang ditutup kerana Covid-19,” katanya, sambil menambah program ini akan melengkapkan usaha vaksinasi negara.
Beliau berkata perincian jenis vaksin yang akan digunakan akan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada akhir minggu ini atau awal minggu depan.
Inisiatif yang disebut SelangkahVAX akan dilakukan oleh Selgate Corporation, anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Siti Mariah berkata perniagaan yang ingin mendapatkan vaksin untuk pekerja boleh mula mendaftar secara dalam talian melalui aplikasi Selangkah atau secara langsung melalui web.
Di bawah skim ini, negeri juga mensasarkan masyarakat terpinggir seperti mereka yang berada di rumah jagaan, pusat dialisis dan pelarian.
“Jika kita tidak memberi perhatian kepada semua kumpulan ini, usaha vaksinasi akan gagal dan kita tidak akan mencapai 80% imuniti kelompok,” katanya.
Beliau berkata vaksin yang diputuskan oleh kerajaan negeri untuk dapatkan tidak akan memerlukan persetujuan daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) kerana mereka akan membeli vaksin yang sudah diluluskan.
“NPRA meluluskan penggunaan Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, dan kami akan menggunakan vaksin yang sama.
“Tiada masalah kerana kami hanya akan mendapatkan bekalan vaksin selepas pengeluar vaksin memenuhi pesanan kepada kerajaan pusat.”
Siti Mariah berkata sehingga hari ini, 1 juta pekerja di Selangor sudah mendaftar. – 19 Mei, 2021.
Komen