Pelancong ke Genting cetus kluster baharu Covid-19 di Kedah 


Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang menjalankan pengesanan kontak melibatkan mereka yang disahkan positif.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2021.

AKTIVITI pelancongan ke Genting Highlands pada pertengahan April lalu mencetuskan kluster baharu selepas 16 individu disahkan positif Covid-19 di Kedah, kata Dr Mohd Hayati Othman.

Exco kesihatan dan kerajaan tempatan negeri Kedah itu berkata setakat 7 Mei, 16 daripada 28 individu dalam kumpulan berkenaan disahkan positif Covid-19.

“Kluster Dah Lengkuas ini adalah mereka yang melakukan perjalanan di bawah gelembung pelancongan ke Genting Highlands dengan menaiki bas secara beramai-ramai. mereka mula dikesan positif Covid-19 pada 30 April lalu,” beliau dipetik sebagai berkata oleh Harian Metro.

Kluster berkenaan setakat ini hanya berkait dengan satu bas pelancongan dan penduduk di Taman Lengkuas di Simpang Empat.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah sedang menjalankan pengesanan kontak melibatkan mereka yang disahkan positif.

“Sehingga kini, kita belum dapat tahu jumlah sebenar mereka yang positif kerana proses ujian saringan masih dilakukan,” katanya dalam laporan itu.

Pada 9 Mac, Putrajaya mengumumkan perjalanan rentas negeri untuk pelancongan di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dibenarkan dengan prosedur operasi standard yang ketat termasuk perlu melalui agensi pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Bagaimanapun pada 4 Mei, kerajaan menggantung polisi itu. – 19 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen