PERANCIS bersama Mesir dan Jordan mengusulkan resolusi dengan Majlis Keselamatan PBB, meminta gencatan senjata konflik Israel-Gaza, kata pejabat presiden pada Selasa malam.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan rakan sejawatannya dari Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, yang berada di Paris untuk sidang kemuncak mengenai Afrika, menyetujui resolusi itu dalam sidang video dengan Raja Abdullah II dari Jordan, kata kenyataan itu.
“Ketiga-tiga negara bersetuju berhubung tiga elemen mudah: Tembakan harus dihentikan, sudah tiba masanya untuk gencatan senjata dan Majlis Keselamatan PBB mesti menangani masalah ini,” kata Istana Elysee.
Perancis yang menggesa gencatan senjata segera selama beberapa hari, berkata ia menyokong rundingan diketuai oleh Mesir.
Macron pada Isnin menegaskan pentingnya rundingan Mesir selepas perbincangan di Paris dengan Abdel Fattah.
Majlis Keselamatan PBB gagal mengguna pakai deklarasi mengenai konflik itu, dengan Amerika Syarikat, sekutu Israel yang kuat, menolak tiga deraf cadangan yang diusulkan oleh China, Norway dan Tunisia yang menyeru agar menghentikan pertempuran.
Duta Besar PBB China, Zhang Jun berkata semasa pertemuan tertutup, para anggota “mendengar cadangan yang dibuat oleh rakan Perancis kami dan China menyokong semua usaha yang memudahkan pengakhiran krisis dan keamanan semula di Timur Tengah.” – AFP, 19 Mei, 2021.
Komen