Sentiasa pakai pelitup muka, kata bekas pesakit Covid-19


Khoo Gek San

Keadaan pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di PKRC di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang. – Gambar The Malaysian Insight, 20 Mei, 2021.

HANYA seketika diperlukan untuk seseorang itu dijangkiti Covid-19, kata tiga individu yang pernah diserang virus itu walaupun mereka telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Dua daripada mereka dijangkiti ketika makan di luar manakala seorang lagi dijangkiti ketika melakukan aktiviti mendaki. 

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa apa yang mereka lakukan hanyalah membuka pelitup muka sekejap, dan ia terbukti menjadi punca mereka dijangkiti. 

Mereka turut kesal kerana memberi risiko kepada ahli keluarga, yang mana dua daripada mereka menjangkiti yang lain. 

Ketua Biro Aduan dan Khidmat Masyarakat Gerakan Henry Teoh berkata beliau menyedari kemungkinan dijangkiti virus berkenaan berikutan kerap bertemu masyarakat dan menjalani ujian saringan setiap dua minggu. 

Namun, Teoh percaya beliau dijangkiti virus selepas makan di sebuah restoran. 

“Saya memakai pelitup muka ketika bersembang dengan rakan ketika makan. Kami bertiga makan di meja yang cukup besar untuk memastikan penjarakan sosial,” kata Teoh.

Sebelum makan di situ, Teoh berkata salah seorang pekerja di restoran berkenaan sudah dijangkiti. 

Katanya walaupun pekerja yang dijangkiti itu dihentikan dan pekerja lain dijadualkan untuk menjalani ujian saringan, restoran berkenaan masih dibuka. 

“Itu menyebabkan kami bertiga dijangkiti. Sejak itu, restoran berkenaan ditutup dan disanitasi oleh Kementerian Kesihatan,” kata Teoh. 

Teoh berkata beliau mula demam dan batuk sehari selepas makan di restoran berkenaan. 

Selepas mengambil ubat, Teoh merasakan keadaannya semakin baik. 

Namun pada hari keempat, beliau merasa sangat letih dan mula mengalami sakit tekak. 

“Saya segera menjalani ujian dan ia disahkan saya dijangkiti.”

Teoh kemudian berpindah ke hotel untuk mengasingkan diri dan memaklumkan Kementerian Kesihatan. 

“Nasib baik, saya mula memakai pelitup muka di rumah dan tidur di ruang tamu semasa tidak sihat. Saya juga memberitahu ahli keluarga untuk kurangkan kontak dengan saya dan memastikan peredaran udara di rumah. 

“Saya diperiksa pada 23 April dan ke hotel sehari selepas itu. Saya kemudian ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

“Saya juga kesal kerana menjangkiti mekanik kereta saya yang membaiki kereta tanpa pelitup muka. Saya segera memintanya menjalani ujian selepas saya disahkan positif. Keputusannya memang positif, namun dia tidak mengalami gejala,” katanya. 

Ketika menjalani pengasingan, Teoh bertemu dengan pesakit yang menyembunyikan keadaan kesihatannya kerana bimbang dihantar ke hospital. 

“Jururawat sangat marah apabila mengetahuinya dan mengarahkan dia memaklumkan kakitangan perubatan mengenai keadaanya. 

“Dia kemudian dihantar ke unit rawatan rapi di Hospital Sungai Buloh apabila jangkitan paru-parunya semakin teruk.”

Teoh dibenarkan pulang selepas disahkan pulih pada 7 Mei. 

Sebelum dijangkiti, Teoh berkata beliau tidak faham sepenuhnya bahaya Covid-19.

Beliau berkata masyarakat perlu berterus terang sekiranya dijangkiti virus dan memberi peringatan kepada mereka yang makan di luar.

“Dan pakai pelitup muka ketika bersembang selepas makan,” kata Teoh. – 20 Mei, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen