PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte telah melarang kabinetnya untuk tidak mengeluarkan pendapat mengenai perselisihan di Laut China Selatan, setelah para menteri utama terlibat dalam perang mulut dengan Beijing.
Ketegangan antara Manila dan Beijing di laut yang dituntut China meletus pada Mac setelah beratus-ratus kapal China ditemui di Zon Ekonomi Eksklusif Filipina.
Ketika Duterte enggan berhadapan dengan China berhubung masalah berkenaan, seketeriat pertahanan dan luarnya berulang kali mengkritik Beijing yang enggan menarik keluar kapal dari perairan yang menjadi pertikaian itu.
Awal bulan ini, Setiausaha Luar Teodoro Locsin melalui Twitter dengan tegas menuntut kapal-kapal China meninggalkan perairan itu.
Kutukan dalam taliannya itu menimbulkan teguran dari Beijing dan Locsin kemudian meminta maaf kepada rakannya dari China.
“Ini adalah arahan saya kepada kabinet… untuk menahan diri (tidak) membincangkan isu Laut Barat Filipina ini dengan… sesiapa saja,” kata Duterte dalam ucapan dirakam lewat Isnin, menggunakan nama tempatan untuk laut.
“Sekiranya kita perlu bercakap, kita hanya bercakap di antara kita,” kata Duterte kepada beberapa anggota kabinet, termasuk Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana yang sebelum ini menyifatkan kehadiran kapal-kapal China itu sebagai “ancaman”.
Jurucakap presiden Harry Roque dibenarkan menangani masalah tersebut di khalayak ramai, tambah Duterte.
China telah mengabaikan keputusan mahkamah antarabangsa 2016 yang menyatakan tuntutan sejarahnya atas sebahagian besar Laut China Selatan sebagai tidak asas.
Duterte mengetepikan keputusan tersebut sebagai ganti kepada perjanjian perdagangan dan pelaburan dari China yang menurut pengkritik sebahagian besarnya masih belum bermula. – AFP, 18 Mei, 2021.
Komen