PELAKON Neelofa sekali lagi meraih kontroversi apabila muncul rakaman yang didakwa menunjukkan beliau dan anggota keluarganya membuat kunjungan hari raya.
Dakwaan tersebut timbul memandangkan individu yang ditunjukkan dalam rakaman berkenaan didakwa tidak tinggal serumah.
Ia antara lain menunjukkan anggota keluarga tersebut bersalam-salaman dan berpelukan dalam suasana riang ria, sedangkan kunjungan hari raya dilarang keras pada masa ini.
Video pendek itu pada asalnya dimuatkan seorang saudara pelakon berkenaan di akaun Instagram dengan nama Noornabila, namun kemudian disyaki dipadam.
Rakaman dengan kapsyen “1 Syawal yang penuh mulia” itu tidak lagi dapat dilihat di akaun tersebut pada waktu ini.
Rakaman berkenaan bagaimanapun disalin oleh pengguna media sosial yang memuatkan semula sedutan tersebut di Twitter, dan seterusnya meraih pelbagai kecaman.
Antaranya pengguna dengan nama @cashnlipstick yang kecewa kerana tindak-tanduk keluarga pelakon itu menimbulkan kebencian masyarakat.
“Satu keluarga ini kalau tak buat hal memang tak sah. Macam mana boleh hidup dengan semua orang membenci,” soalnya.
Seorang lagi, dengan nama @ktlfeu menganggap tindakan itu sebagai penghinaan kepada rakyat umum yang mematuhi larangan mengikut ketetapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mereka benar-benar meludah ‘huh siapa suruh miskin’ berulang kali ke muka kita,” katanya.
Assalamualaikum pic.twitter.com/rDtKezLmgW
— Naz. (@TheZollonist) May 17, 2021
Pengguna Twitter dengan nama @syanarchy pula hairan kerana ramai masih terkejut melihat rakaman berkenaan.
“Adakah kita pura-pura terkejut? Saya pun belakon terkejut lah,” katanya dalam bahasa Inggeris.
Ini memandangkan pelakon tersebut berluang kali disiasat kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan bagi mengekang pandemik Covid-19.
Majlis perkahwinan pelakon itu pada Mac lalu menyebabkan Neelofa dan 20 anggota keluarganya dikenakan kompaun dengan jumlah keseluruhan RM60,000 kerana melanggar SOP.
Beliau dan suaminya kemudian dikompaun lagi, masing-masing RM10,000 kerana melanggar larangan rentas negeri untuk berbulan madu.
Kedua-duanya kini disiasat kerana didakwa melanggar larangan sama apabila didapati mengunjungi Nilai di Negeri Sembilan, didakwa untuk membeli permaidani. – 17 Mei, 2021.
Komen