Kerajaan PAS Terengganu tidak agih bantuan adil, kata rakyat


Diyana Ibrahim

Sebahagian rakyat Terengganu mendakwa kerajaan PAS di negeri itu tidak mengagihkan bantuan kepada rakyat dengan adil dan hanya berpihak pada penyokong parti Islam itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mei, 2021.

KERAJAAN PAS di Terengganu tidak mengagihkan bantuan kepada rakyat dengan adil dan hanya berpihak pada penyokong parti Islam itu, kata sebahagian rakyat mengulas prestasi tiga tahun pentadbiran Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mereka mendakwa permohonan untuk mendapatkan bantuan ditolak hanya semata-mata bukan penyokong PAS atau tinggal di kawasan penyokong Umno.

Usahawan Arif Ramzi, 35, dari Kuala Terengganu berkata beliau pernah cuba memohon bantuan Program Subsidi Upah di bawah kerajaan negeri pada Jun 2020.

Beliau memohon bantuan yang diberikan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu selepas perniagaannya terjejas susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) menangani pandemik Covid-19 sejak Mac 2020.

Arif berkata permohonannya ditolak biarpun memenuhi semua syarat yang melayakkannya mendapat bantuan di bawah kerajaan negeri itu.

“Saya mohon tapi tak dapat, tak tahu kenapa padahal saya layak. Apa yang saya nampak kerajaan PAS ini banyak bagi pada penyokong mereka,” dakwanya.

Arif mengaku beliau kecewa kerana apa yang berlaku tidak sama dengan apa yang kerajaan PAS canangkan kononnya mahu mengagihkan peruntukan lebih adil dan tidak berpihak keypad rakyat.

“Kerajaan PAS ini sama saja, tak ada perkembangan, tak ada perubahan daripada kerajaan lepas (Barisan Nasional).

“Masa Umno memerintah sebenarnya perkara ini jadi juga, jadi bila PAS memerintah kami ingat ada perubahan tapi sama juga.

“Dulu mereka (PAS) marah kepada Umno sebab hanya bagi bantuan kepada penyokongnya tapi sekarang mereka pun buat benda sama juga,” katanya.

Arif berkata kerajaan PAS sepatutnya mengagihkan bantuan melalui pejabat daerah, mukim atau ketua kampung dan bukan dari pejabat ahli Dewan Undangan Negeri bagi mengelakkan isu bantuan sepihak.

PAS mengambil alih pentadbiran Terengganu daripada Barisan Nasional selepas menang 22 daripada 32 kerusi DUN dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.

PAS sebelum itu pernah mentadbir Terengganu selama sepenggal selepas PRU 1999 sebelum kalah kepada BN pada 2004.

Seorang pekerja swasta yang hanya dikenal dengan nama Rohani, 36, juga mengakui perkara sama mendakwa banyak bantuan hanya diagihkan kepada penyokong PAS.

Rohani yang tinggal di Kuala Nerus berkata banyak bantuan Covid-19 juga datang daripada kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

“Sebagai rakyat Terengganu saya lihat memang banyaklah bantuan diberikan kepada penyokong mereka.

“Masa Covid-19, kata kerajaan negeri ada banyak duit, bukalah apa-apa skim untuk peniaga atau pekerja swasta yang terjejas… senang untuk kita mohon, tapi tak ada.

“Banyak bantuan datang daripada pusat bukan kerajaan negeri,” katanya.

Peniaga yang hanya dikenali sebagai Ahmad yang juga kecewa dengan pentadbiran kerajaan PAS menceritakan bagaimana penduduk kampungnya pernah menggerakkan program masyarakat tanpa bantuan kerajaan negeri atau wakil rakyat.

Mereka kemudian terkejut apabila dapat tahu penyelaras DUN dari PAS turut melakukkan program yang hampir sama tidak jauh dari kawasan mereka.

“Bagi kami peliklah, adakah sebab kawasan kampung kami tempat penyokong Umno jadi mereka buat begitu?

“Padahal bagi saya kita pun tidaklah sokong BN juga, cuma sayanglah mereka buat begitu berpuak- puak.

“Kalau mereka terbuka sikit, cara layanan baik mana tahu yang ‘biru’ ini boleh terbuka hati nak ubah ke ‘hijau’,” katanya, merujuk kepada warna BN dan PAS.

Namun Ahmad berkata tidak semua kawasan DUN yang mempunyai sentimen sebegitu.

“Ada juga kawasan DUN yang wakil rakyat PAS ok, jadi sebenarnya ia bergantung pada pemimpin jugalah. Tapi kebanyakannya layanan adalah sepihak,” katanya.

Seorang lagi peniaga Said, 51, yang juga penyokong PAS secara umum melihat pentadbiran kerajaan negeri tidak bermasalah namun terkilan apabila bantuan hari raya diberhentikan.

“Dana raya patutnya teruslah diberikan sebab ia membantu juga terutama kami peniaga sekarang ini banyak terkesan jualan merosot,” katanya yang berniaga di Pasar Payang.

Ditanya adakah beliau akan mengubah sokongan semasa pilihan raya akan datang kerana hal itu, jawabnya tidak.

“Saya tetap akan undi PAS, macam mana pun, kita nak kerajaan Melayu Islam,” katanya. – 18 Mei, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen