Tangani defisit keyakinan terhadap SOP dan kawalan pergerakan


TAHUN lepas, dalam beberapa bulan pertama Covid-19 melanda, dapat dilihat bahawa rata-rata rakyat mematuhi SOP dan kawalan pergerakan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Namun demikian, selepas lebih daripada setahun wabak ini melanda negara, nampak seakanakan bahawa ramai yang tidak mematuhi SOP dan kawalan pergerakan.

Ramai yang mencari kaedah untuk tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Contohnya, walaupun larangan rentas daerah dikenakan, ada yang mencari ‘jalan tikus’ untuk memasuki daerah lain.

Tidak dinafikan, fenomena Covid fatigue mungkin ada memainkan peranan. Namun demikian, keadaan sekarang ini juga disumbang oleh kehilangan keyakinan rakyat terhadap SOP dan kawalan pergerakan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.

Rakyat sering melihat isu-isu seperti SOP yang cacamarba dan sering bertukar, mixed messaging daripada kerajaan serta isu ‘antara dua darjat’ dalam perlaksanaan peraturan berkenaan dengan Covid-19. Semua ini menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan pada SOP dan kawalan pergerakan yang dibuat.

Bila terdapatnya defisit keyakinan pada undang-undang dan peraturan, maka ramai yang tidak akan mematuhi SOP dan kawalan pergerakan. Ada yang akan mencari peluang dan memberi alasan untuk melanggar undang-undang dan peraturan.

Kerajaan tidak boleh memandang enteng tentang defisit keyakinan ini. Undang-undang dan peraturan yang paling sempurna pun tidak akan berjaya tanpa keyakinan dan kepercayaan rakyat.

Oleh itu, kerajaan digesa untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan melaksanakan SOP yang jelas berdasarkan sains dan data, memberi mesej yang jelas, konsisten dan terbuka mengenai situasi pandemik dalam negara dan memastikan tidak ada lagi situasi antara dua darjat dalam perlaksanaan SOP dan kawalan pergerakan.

Kegagalan kerajaan untuk menangani isu defisit keyakinan ini akan menjejaskan usaha memerangi Covid-19. – 17 Mei, 2021.

* Syahredzan Johan merupakan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen